Thursday 19 April 2012

Takdir Buat Kita [JIUK] Bab 2


Sekujur badan yang ditutupi kain kafan itu terbaring kaku di ruang tamu. Mak Lang menangis tersedu-sedan di dalam pelukan Pak Lang. Alia Syafiqah dan beberapa orang wanita lain sedang membacakan surah Yassin di sisi jenazah itu. Syafiqah sedaya upaya menahan sendunya. Dia mahu kuat kerana itu janjinya dengan kakak sepupunya. Janji untuk tidak menangis dihadapan Pak Lang dan Mak Lang sentiasa diingati.
Langkah Datin Nur Hayati dan Ariel di pandang cuma oleh Mak Lang dan Pak Lang. Mereka langsung tidak berniat untuk menegur kedua beranak yang baru sahaja tiba di rumah itu. Mereka lebih suka melayan rasa sedih sendiri. Kelibat Pak Ngah dan Mak Ngah juga masih belum kelihatan.
Ariel memandang ke arah jenazah itu seketika cuma sebelum memandang mamanya disebelah.
“Siapa tu, ma?” Soal Ariel dengan kebingungan. Dahinya yang berbalut di sentuh seketika. Terasa berdenyut-denyut kepalanya saat itu.
“Itu Kyra, sayang,” jawab Datin Nur Hayati seraya mengusap belakang anak tunggalnya itu.
“Kyra? Kenapa dia pakai macam tu?” Wajah Ariel masih tidak berperasaan. Mamanya sudah mengalirkan airmata tanpa dapat ditahan. Rasa hiba menyelinap ke segenap ruang hati melihat keadaan anaknya itu.
“Kyra dah tak ada, Riel.”
“Tak ada? Mama, Kyra baru je jadi isteri Riel. Riel nak jumpa isteri Riel.” Datin Nur Hayati menarik lengan anaknya merapati jenazah itu. Ariel hanya menurut gerak mamanya.
“Tengoklah dia buat kali terakhir.” Syafiqah yang sudah siap membacakan surah Yassin buat arwah mencelah dengan nada sebak. Sayu hatinya melihat keadaan Ariel. Baru sahaja berkahwin namun terpaksa jua berpisah dalam keadaan yang menyedihkan. Sungguhlah, jodoh itu di tangan Tuhan. Jika benar jodoh tiada, biar berjuta manusia menyokong sekalipun tidak mungkin mereka akan bersatu.
Ariel menarik kain yang menutupi wajah isterinya itu. Wajah Aimuni Syakirah ditatap penuh kasih. Itu isterinya! Gadis yang terbujur kaku di dalam kain kafan itu adalah isterinya! Ya Allah, isteriku! Airmata lelaki itu mengalir perlahan-lahan menuruni pipi. Datin Nur Hayati segera menarik lelaki itu agar menjauhi jenazah Aimuni Syakirah.
“Kyra! Jangan tinggalkan saya!” Laungan Ariel membuatkan tetamu panik. Pak Lang dan beberapa pemuda datang memegang Ariel yang sudah seperti kerasukan itu. Datin Nur Hayati mengundur menjauhi anaknya itu. Kudratnya tidak setanding Ariel.
“Mengucap, Ariel,” nasihat seorang lelaki yang sebaya Ariel.
“Aku nak Kyra! Aku nak isteri aku!” Jerit Ariel lagi. Dia sudah tidak malu menangis dihadapan semua tetamu yang datang. Sungguh dia berasa kehilangan. Sakitnya seperti ditusuk sembilu bisa. Pedihnya terasa.
“Sabar, Ariel. Sabar!” Ujar Pak Lang seraya mengusap kepala lelaki itu dan membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran untuk menenangkan lelaki itu.
“Kenapa? Kenapa awak tinggalkan saya?!” Raung Ariel sekuat hati.
“Ariel sayang, kenapa ni?” Suara mamanya sayup-sayup kedengaran. Terasa sentuhan lembut di bahunya. Ariel tersedar. Matanya dibuka perlahan-lahan. Matanya diliarkan ke sekitar biliknya yang gelap tanpa kehadiran cahaya. Wajah Datin Nur Hayati menyapa pandangannya. Keluhan berat terlepas jua. Dia bermimpi rupanya!
“Kyra mana, ma?” Soalan itu seperti sudah menjadi kewajipan bagi Ariel setiap kali bangun daripada tidurnya. Datin Nur Hayati mengusap rambut anaknya yang sudah memanjang itu. Sedih rasa hatinya melihat keadaan Ariel yang tidak terurus itu. Dunia anaknya kini hanya bilik itu. Bilik yang sepatutnya dihuni bersama Aimuni Syakirah.
“Polis masih menyiasat, sayang,” jawab Datin Nur Hayati lembut. Ariel mendengus kasar.
“Mereka tahu buat kerja ke tak? Dah sebulan, mama. Ariel nak isteri Ariel balik!” Ujar Ariel dengan nada meninggi.
“Sabar, sayang. Nanti kalau ada apa-apa, polis akan call kita,” pujuk Datin Nur Hayati.
Anaknya itu sering ditemani airmata sejak sebulan yang lalu gara-gara kehilangan isteri yang baru dinikahinya. Datin Nur Hayati juga sedikit terkilan kerana tidak sempat bersua muka dengan menantunya itu kerana tuntutan kerjanya diluar negara.
“Mama, isteri Riel tak matikan?” Soalan itu berjaya membuatkan Datin Nur Hayati terdiam. Dia tiada jawapan untuk itu. Jika menantunya itu sudah meninggal, mana mayatnya? Jika dia masih hidup, mana jasadnya? Wanita anggun itu juga pening memikirkan nasib menantunya itu.
“Bersabarlah, Riel.”
“Riel sayang Kyra, mama.”
“Mama tahu.” Sekilas wanita itu memandang bantal yang sudah basah dek airmata Ariel. Sungguh terseksa keadaan anaknya itu. Wajahnya cukup untuk menceritakan segala penderitaan yang dialaminya.
“Nanti mama tolong carikan Kyra ye. Mesti dia tengah tunggu Riel jemput dia,” ujar Ariel seraya mengukir senyuman pahit. Mamanya mengangguk.
“Mama kena pergi kerja sekarang. Kalau Riel nak makan, Riel panggil Mak Mah ye,” pesan DatinNur Hayati. Ariel mengangguk.
Matanya memandang kelibat mamanya sehingga menghilang di sebalik pintu bilik. Lelaki itu kembali menutup matanya. Dia tidak mahu berfikir tentang apa-apa jua yang berkaitan dengan dunia luar. Dia hanya mahu menunggu isterinya. Menunggu kepulangan Aimuni Syakirah yang entahkan hidup entahkan mati itu.

Suara angkuh Datuk Tengku Hashim Adha itu menyapa pendengaran Datin Nur Hayati. Jika bukan kerana Ariel, mati hidup kembali pun dia tidak akan menelefon bekas suaminya itu. Rasa cuak mendengar suara isteri muda Datuk Hashim hanya membuat hatinya sakit. Perempuan perampas!
“Saya tak kisah dia tinggal dengan saya, Tengku,” keras suara Datin Nur Hayati.
“Habis tu apa lagi yang awak nak dari saya ni?” Soalan itu bagai mencarik-carik maruah diri Datin Nur Hayati. Tidakkah suaminya itu sedar bahawa Ariel itu anaknya? Dia tidak perlukan lelaki itu tapi Ariel perlukan papanya.
“Saya tak perlukan apa-apa dari Tengku. Cuma yang saya harapkan adalah Tengku pergilah tengok keadaan anak Tengku tu. Dia anak kandung Tengku bukan anak angkat!” tempelak Datin Nur Hayati dengan perasaan geram. Datuk Hashim di hujung talian tergelak kecil.
“Apa kena dengan awak ni?” Soal Datin Nur Hayati lagi apabila Datuk Hashim begitu galak ketawa. Entah apa yang melucukan lelaki itu pun dia tidak tahu. Dah tak betul agaknya, desis hati wanita itu.
“Saya suka bila awak marah, Nur,” ujar Datuk Hashim perlahan. Bimbang jika isteri barunya terdengar kata-katanya itu. Datin Nur Hayati mencebik. Dasar buaya! Nasib baik perangai Ariel tidak mengikut perangai gatal Datuk Hashim biarpun lelaki itu tinggal bersama papanya sebelum kejadian itu menimpa.
“Gatal…” Meledak ketawa Datuk Hashim kala itu. Isteri barunya yang berada di bilik yang sama sudah menjeling marah. Serta-merta tawanya mati. Jelingan isterinya itu seperti harimau yang mahu menerkam mangsanya. Seram!
“Macam ni sajalah, Nur. Awak pun tahu yang saya tak berkenan dengan menantu awak yang dah mati tu…”
“Dia belum mati!” Sangkal Datin Nur Hayati dengan nada tegas. Datuk Hashim hanya mengukir senyum sinis.
“Lagi elok kalau dia mati. Tak perlu nak menyusahkan hidup orang lain!” Balas Datuk Hashim dengan nada suara yang sama. Aimuni Syakirah. Gadis yang merampas Ariel dari hidupnya. Gadis yang sudah membuatkan syarikatnya rugi berjuta-juta apabila rancangan perkahwinan antara Ariel dan Sara dibantah oleh Ariel mentah-mentah kerana anak lelakinya itu mencintai Ariel. Dia bencikan gadis yatim piatu yang dari mana keturunannya itu!
“Astaghfirullahalazim! Apa yang Tengku cakapkan ni?”
Listen carefully, Nur. Saya takkan ambil tahu tentang anak yang dah kecewakan hati saya. Rasanya awak cukup memahami apa yang saya maksudkan,” ujar Datuk Hashim dengan nada mendatar. Sungguhlah hatinya sudah keras. Rasa sakit dengan penolakan Ariel tentang rancangan perkahwinan itu masih lagi terasa.
You’re selfish, Tengku!” Tanpa salam, talian diputuskan dengan perasaan marah. Ayat Datuk Hashim betul-betul membuat hati Datin Nur Hayati menggelegak. Apa sudah jadi dengan bekas suaminya itu? Tega menolak anak sendiri hanya kerana daki dunia. Mungkinkah perangainya sekarang dipengaruhi oleh perempuan perampas itu? Ah, mereka memang sesuai bersama!
p/s : nantikan next n3... Aimuni Syakirah, where are you?!!

2 comments:

  1. aimuni syakirah tgh buat assigment kot sue isma..tunggu la dia muncul lps nie erk..hehe...best sgt2..i like...thanks sue. :)

    ReplyDelete