Sunday 14 October 2012

Luahan Hati Seorang Anak

Luahan ni dah lama tapi masih disimpan sehingga kini... Mungkin ayat yang digunakan pun masih belum matang.. Maaf untuk itu... Saya tak nak edit... Biarlah apa yang saya rasa saat itu sentiasa segar melalui tulisan ini... Mom, you're the best and always be.


Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa bersemi selamanya.
Ibu ana seorang yang rajin bekerja untuk menyara keluarga. Kami tidak sesenang orang lain. Ibu dan ayah ana cuma bekerja menorah getah di samping ayah ana turut sering masuk ke hutan mencari petai. Ayah ana memang seorang yang kuat semangat. Dia pernah ditimpa oleh batang kayu dan sehingga kini parut itu masih ada namun semangatnya untuk mencari rezek buat kami tidak pernah padam.
Mungkin ramai yang tidak sanggup melakukan kerja seperti itu namun bagi ana kerja itu kerja mulia. Ana tidak mungkin akan jadi seperti hari ini jika bukan kerana ibu dan ayah ana. Mereka kekuatan ana. Mereka pendorong ana untuk terus memajukan diri ana. Mereka contoh yang terbaik buat ana. Mereka adalah sayap kiri dan kanan ana.
Masih jelas di ingatan ana sewaktu ana masih berada di sekolah rendah. Setiap kali cuti sekolah, kami semua adik beradik yang sewaktu itu 5 orang (abang ana yang sulung,kedua dan ketiga tidak tinggal bersama kami waktu itu) bersusah payah menolong ibu dan ayah kami dikebun getah.
Masih terasa genggaman guni yang digunakan untuk mengutip susu getah yang telah keras. Masih terasa peluh membasahi wajah ana ketika menarik karung guni yang berat itu untuk dikumpulkan disuatu tempat sebelum lori datang mengangkut. Masih terngiang-ngiang suara dengungan nyamuk yang cuba menghisap darah ana. Biarkan. Biarkan mereka! Ana tidak kisah semua itu. Apa yang penting bagi ana ialah ana mampu meringankan sedikit beban ibu dan ayah ana.
Letih! Lelah! Apa yang ana rasakan itu tidak sehebat apa yang ibu dan ayah ana rasakan. Mereka tidak pernah menunjukkan rasa letih mereka kepada kami. Tidak pernah menunjukkan rasa lelah di hadapan kami. Peluh yang mengalir membasahi baju mereka memberitahu ana bahawa bukan sedikit keringat yang mereka kerah semata-mata untuk mendapatkan duit yang halal, untuk membesarkan anak-anak mereka.
2008. Tahun yang memberi tamparan hebat kepada ana dan keluarga. Ibu yang ana panggil mak telah ditakdirkan pergi menemui Penciptanya pada usianya menginjak umur 43 tahun. Sewaktu ana masih di tingkatan 4. Sewaktu ana masih belum puas bermanja dengannya. Sewaktu ana masih belajar mengurus diri ana. Sewaktu ana masih belum matang dalam menghadapi hidup ini sendiri tanpa bantuan dari seorang ibu. Sewaktu ana masih memerlukan perhatian darinya. Ya Allah, besar ujian-Mu ini kepada ana.
Ana terasa kehilangan namun ana bersyukur kerana Allah meminjamkan ibu ana kepada ana. Ana sedar bahawa setiap apa yang hidup pasti akan mati kerana kita semua adalah milik Allah. Ibu ana pergi dengan derita penyakit yang dibawa bersama. Dia tidak pernah menunjukkan rasa sakitnya kepada kami adik beradik.
Pernah suatu ketika kakak ana bertanya kepada ibu ana. “Mak, sakit ke kena cucuk dengan jarum?” Ibu ana hanya tersenyum sambil berkata, “ Tak sakit pun. Rasa macam kena gigit dengan semut.” Biarpun badannya penuh dengan lebam-lebam biru kerana kesilapan doktor mencucuknya sewaktu mengambil darah dan untuk memasukkan air ke dalam badan ibu ana namun dia masih mampu tersenyum. Ana yang melihat mampu merasai kesakitan itu apatah lagi ibu ana yang merasainya. Ah, ibu ana memang seorang yang kuat!
Sewaktu doktor mahu membedah ibu ana untuk mengambil air tulang belakang, ibu dan ayah ana hanya menurut. Tujuannya adalah untuk mengetahui penyakit yang dihadapi oleh ibu ana. Waktu itu hanya ayah ana yamg menemani ibu ana. Mereka tidak tahu bahayanya pembedahan itu.
Ibu ana hanya menurut kerana katanya dia mahu cepat sembuh. Mahu bersama-sama suami dan anak-anaknya. Dia tidak tahu bahawa risiko mengambil air tulang sum-sum itu adalah antara mati atau hidup namun hidup yang tidak akan sempurna dan normal.
Ibu ana tidak koma lama seperti orang lain selepas pembedahan. Ibu ana terjaga selepas 4 jam pembedahan itu. Dia menangis. Dia sakit. Dia mengadu kepada nenek ana namun hanya airmata yang kami dapat berikan. Dia pernah berdoa agar Allah mengambil nyawanya kerana sakit yang di alaminya tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Doktor mengambil keputusan untuk mengkomakan ibu ana.
Ana sempat berjumpa dengannya sebelum mata itu tertutup. Dia memandang ana namun dia tidak mengenali ana. Betapa luluh hati ana waktu itu. Ibu yang selama ini bersama ana tidak mengenali ana. Ibu ana pergi buat selama-lamanya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Hilang sudah seorang anak Adam menuju ke alam kekal abadi.
Ana kehilangan sebelah sayap. Ketika itu ana rasakan seluruh hidup ana turut pergi bersamanya. Ana menangis. Ana terus menangis tanpa henti. Ya Allah, tabahkan hati ana. Kuatkan diri ana untuk menghadapi semua ini kerana ana yakin setiap yang hidup pasti akan mati.
Ana bacakan surah Yassin untuk ibu ana. Ana kucup dahinya sebelum wajah itu ditutup kain putih. Ana tatap wajahnya buat kali terakhir sepuas-puasnya. Tenang. Tiada duka diwajah itu. Tiada keletihan terpamer diwajah itu. Di sini ana cuma mampu mendoakan kesejahteraan ibu ana. Semoga dia di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.

p/s : sayangi ibu anda kerana seorang ibu tidak akan dapat di beli di mana-mana jika kita kehilangannya. Ibu ibarat permata berharga yang sekali kita kehilangannya,dunia pun tidak mampu menjadi galang ganti untuk mengembalikan permata berharga itu. Sekadar renungan buat sahabat-sahabat ana.

Selamat Datang Cinta

Assalamualaikum dan salam sayang to all readers...
Cerpen ni dah lama saya create... Dah pernah hantar kat blog 7streetwriters (http://sevenstreetwriters.blogspot.com/)... Maybe ada yang dah baca dan maybe ada yang belum... Semoga apa yang saya sampaikan ni memberi manfaat buat kita semua...

Nur Ain  memandang wajah ibunya sekilas. Gadis itu hanya terdiam di atas sofa di ruang tamu rumah mereka. Televisyen yang terpasang tidak menarik minatnya saat itu. Suara ibunya lebih menggetarkan hatinya. Perkhabaran yang dihulurkan oleh ibunya seakan satu seksaan dihatinya. Berpinar-pinar matanya saat itu.
“Awak setuju?” Soalan ibu mengejutkan anak gadisnya. Kedengaran gadis itu beristighfar.
“Saya tak tahu, ibu,” jawab Nur Ain dengan suara sedikit bergetar. Dapat dirasakan badannya seram sejuk kala itu.
“Ibu tak paksa awak, sayang. Awak fikirlah dulu semasak-masaknya. Ambil masa secukupnya,” ujar ibu yang mahu menyedapkan hati anaknya.
Matanya beralih ke arah sekeping gambar yang terletak di bawah kotak baldu berwarna merah itu. Gambar yang di terbalikkan ke belakang itu langsung tidak mengundang keinginan di hati anak gadisnya untuk melihat wajah pemilik tuan punya kotak baldu itu.
“Bila mereka nak tahu keputusannya, ibu?”
“InsyaAllah, minggu depan katanya.”
Nur Ain menarik nafas panjang lantas perlahan-lahan di hela. Ya Allah, berikan hamba-Mu ini kekuatan!
“Cepatnya..”
“Mereka nak kahwinkan terus kalau awak setuju,” kata ibu dengan nada tenang.
“Siapa, bu? Abang ipar saya ke?” Soal Ainul tiba-tiba. Gadis itu yang baru keluar daripada bilik pantas mendapatkan kakak dan ibunya.
“Awak dah solat Isyak ke ni?” Soal si kakak tanpa menghiraukan pertanyaan adik bongsunya itu.
“Dah solatlah. Ibu, betul ke petang tadi ada orang datang merisik akak? Saya dengar bakal abang ipar saya tu seorang arkitek.”
“Adik, awak jangan nak menyibuklah,” pintas Nur Ain dengan wajah sedikit berkerut.
“Saya nak tahu jugaklah. Awak tu kakak saya. Saya kena tahu siapa bakal suami kakak saya. Betul tak ibu?” Soal gadis lincah itu lagi dengan mata bersinar-sinar. Macam dia pulak yang nak kahwin, desis hati Nur Ain.
“Awak ni suka sangat bergaduh dengan kakak awak. Pening ibu tau,” ujar ibu. Ainul tertawa melihat wajah berkerut ibunya itu.
“Alah, bukan selalu dapat kacau kakak ni. Nanti bila dia dah kahwin, tak ada peluanglah saya nak kenakan dia,” usik Ainul. Merah padam muka Nur Ain menahan malu.
“Awak ni memang suka usik saya la,” balas Nur Ain lantas mencubit paha si adik. Terjerit kecil gadis itu.
“Sakitlah, kakak!”
“Padan muka!” Ibu hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua anaknya itu. Terubat rindunya pada suami yang telah 5 tahun meniggalkan mereka.
“Ibu, nanti saya bagitau ibu balik ye,” ujar Nur Ain seraya mengenggam tangan si ibu.
“Baiklah, sayang. Ibu tahu awak akan buat pilihan yang terbaik untuk diri awak,” kata ibu lantas mengusap tangan anaknya itu. Ainul hanya tersenyum.
“Saya masuk bilik dulu, ibu,” pinta Nur Ain apabila rasa mengantuk sudah bertandang. Dia memang begitu. Seawal pukul 11 malam, dia sudah siap sedia untuk beradu. Apabila menjelang sepertiga malam, gadis itu akan bangkit untuk berdating dengan pemilik hatinya.
Nur Ain mencium tangan si ibu dan merangkul badan tua itu seerat-eratnya. Setelah meminta maaf daripada ibu, giliran Ainul pula meminta maaf daripada si kakak dan bersalaman dengan Nur Ain.
“Selamat malam, akak! Sayang akak ketat-ketat,” ujar Ainul dengan ketawa manjanya.
“Akak sayang awak jugak,” balas Nur Ain seraya mengusap ubun-ubun si adik dengan penuh kasih.
“Ain, awak tak nak tengok gambar dia?” Soal ibu.
“Biarlah jadi rahsia, bu,” ujar Nur Ain. Matanya memandang belakang gambar itu sekilas. Tertera nombor telefon di salah satu sudut gambar itu. Mungkinkah nombor lelaki itu?
“Ibu simpan dulu ye,” pinta ibu. Nur Ain mengangguk laju. Ibu tersenyum bangga. Abang, ini anak abang yang abang asuh dulu. Anak abang yang abang didik agar menjadi seorang muslimah sejati. Alhamdulillah, abang. Nur Ain membenarkan impian abang menjadi kenyataan, desis hati ibu.
Nur Ain melangkah masuk ke biliknya yang terletak di sebelah bilik ibu. Sebaik sahaja masuk ke bilik, gadis itu perlahan-lahan menapak ke arah meja studinya. Laci di tarik. Diari kesayangannya itu di ambil lantas di belek satu persatu muka surat yang penuh dengan tulisan tangannya. Di dalam hati, doanya tidak putus-putus buat Yang Esa.
Ya Allah, jika benar dia adalah jodohku Kau bukakanlah hatiku untuk menerima dirinya. Kau dekatkan kami dengan ikatan suci, rapatkan kami dengan mengikut sunnah Nabi dan redhakan hati kami untuk saling mencintai sehingga ke syurga-Mu.
Nur Ain terhenti pada satu halaman yang paling akhir. Tertulis di situ dengan dakwat pen berwarna merah. Berkali-kali Nur Ain membacanya sehingga gugur airmata gadis itu. Rasa takut menyelinap ke segenap urat nadi. Rasa bersalah menghantui dirinya.
Ya Allah, berdosakah aku seandainya aku masih punya rasa buat dirinya? Ibu, maafkan saya. Ternyata saya masih belum mampu melupakan dirinya. Ya Allah, berikan kekuatan untukku agar aku mampu memberi ruang hatiku untuk bakal suamiku. Airmata gadis itu terus menitis. Tidurnya di temani rasa gentar terhadap pemilik hidup dan matinya.
*****
Nur Ain menundukkan wajahnya. Rasa malu yang menebal membuatkan dia menunduk menjaga pandangan matanya. Teringat tentang satu sabda Rasulullah yang pernah di baca di dalam blog seorang ukhti. Maksudnya “ Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satu di angkat maka yang lain pun akan terangkat.” (HR. Al Hakim dalam Mustadroknya 1/73. Al Hakim mengatakan sesuai syarat Bukhari Muslim, begitu pula Adz Dzahabi).
“ Assalamualaikum..” Lembut suara itu menyapa di pendengaran Nur Ain namun gadis itu sangat segan untuk memandang empunya suara itu.
“Wa’alaikumsalam..” Jawab gadis itu serentak dengan Wardah, teman baiknya. Kaki Nur Ain seakan terpaku mengadap pintu bilik guru itu. Matanya hanya memandang kasut milik orang yang memberi salam itu. Head prefect?
“Awak berdua nak jumpa Cikgu Azmi ke?”
“Ya. Awak nak jumpa cikgu jugak ke?” Soal Wardah kembali. Matanya memandang lelaki yang berkulit putih dan bercermin mata itu. Senyuman ikhlas menghiasi wajah jernihnya. Terpaku Wardah sesaat namun segera beristighfar menghalau bisikan-bisikan syaitan yang menyesatkan.
Nur Ain terdiam menunduk melihat kasut sekolah berwarna hitamnya. Dia tahu dia sedang berhadapan dengan siapa. Seorang anak muda yang di segani kerana kepimpinan dan kewibawaannya. Ciri-ciri seorang lelaki beriman ada pada lelaki itu menjadi idaman semua muslimah yang bakal menjadi seorang isteri. Nur Ain terasa nafasnya tersekat. Jantungnya semakin laju bergerak seperti pacutan kuda di tengah padang.
“Tak. Saya datang nak jumpa Sir Fahmy tapi dia tak ada,” jawab lelaki itu penuh sopan. Matanya mengerling ke arah teman Wardah yang masih diam membisu. Cantik!
“Astaghfirullahalazim..” Perlahan suara itu keluar dari bibir merah lelaki itu namun dapat di tangkap oleh telinga Nur Ain.
“Saya pergi dulu. Assalamualaikum..” Sebaik sahaja kedua-dua gadis itu membalas salamnya, bergegas anak muda itu berlalu. Tangannya memegang dada sendiri. Terasa degupan jantungnya yang rancak berdenyut. Setiap langkahnya dialunkan dengan zikir. Dia cuba menghalau iras sipi gadis yang mula mendapat tempat di hatinya. Ya Allah, jika ini permainan syaitan Kau jagalah hatiku ini.
Wardah menyiku lengan Nur Ain yang masih menunduk. Pantas gadis itu memandang wajah Wardah yang kelihatan gembira itu. Keningnya di angkat ala-ala Ziana Zain.
Handsome betul head prefect tu,” puji Wardah tanpa segan silu. Terpana Nur Ain seketika naum dia cepat-cepat beristighfar.
“Alhamdulillah. Kurniaan Allah untuk dia,” balas Nur Ain. Wardah tersengih malu apabila menyedari kesilapan diri sendiri.
“Jomlah masuk jumpa cikgu,” ajak Nur Ain. Dia tidak betah berada di hadapan pintu bilik guru itu lama-lama. Tudung labuh berwarna biru yang dipakainya sedikit beralun di tiup angin.
Lagu Cinta Terakhir nyanyian Aiman mengejutkan gadis itu. Hilang semua ingatannya ketika zaman sekolah dahulu. Wajah Wardah menghiasi skrin handphone Nokia pemberiaan arwah ayahnya. Gadis itu pantas menekan butang berwarna hijau.
“Assalamualaikum..” Lembut suara Wardah menyapa pendengaran Nur Ain.
“Wa’alaikumsalam. Mak buyung apa khabar?” Soal Nur Ain dengan senyuman. Tergelak Wardah di hujung talian.
“Alhamdulillah. Saya sihat, baby pun sihat,” jawab wanita muda yang bakal menimang cahaya mata sulung itu.
“Abi baby?”
“Abi dia pun sihat. Siap ambil cuti seminggu lagi semata-mata nak jaga isteri tersayang dia ni,” cerita Wardah dengan nada ceria. Rasa cemburu terselit di ruang hati Nur Ain terhadap teman baiknya itu. Betapa bahagianya temannya itu kerana di kurniakan suami yang penyayang dan Alhamdulillah seorang imam yang soleh.
“Alhamdulillah. Beruntunglah awak dapat Doktor Hadi tu.”
“Awak tu bila lagi? Umur pun dah masuk 22 tahun. Belajar dah sampai tahap Master. Kerja je belum. Takkan tak ada rasa nak berumah tangga lagi?” Soalan Wardah menghantar perasaan sebak kepada Nur Ain. Siapa yang tidak mahu punya suami? Siapa yang tidak mahu punya keluarga sendiri? Sabda Rasululah S.A.W “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri.” (Riwayat Bukhari danMuslim)
“InsyaAllah, suatu hari nanti yang Allah S.W.T dah tetapkan untuk saya,” jawab Nur Ain penuh makna.
*****
Nur Ain melakukan solat sunat Istikharah selama seminggu berturut-turut setiap kali gadis itu bangun untuk berdating dengan pemilik jiwanya. Hatinya tenang. Jiwanya sudah tidak resah. Hilang segala ketakutannya selama ini. Rasa yakin terhadap Ilahi bahawa Allah memberi yang terbaik untuk umat-Nya mendorong Nur Ain mengambil keputusan itu.
Firman Allah S.W.T “ Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah (2) : 216)
Bersandarkan kepada keyakinan dan kecintaan kepada Yang Esa, dia membuat keputusan itu. Dia akan memberi kata putus itu kepada ibunya dengan penuh yakin. Semoga ibu mampu menerima keputusannya dengan hati terbuka.
Pagi itu Nur Ain menolong ibunya menggoreng nasi untuk sarapan pagi mereka bertiga. Ainul masih lagi berselimut. Mentang-mentanglah dia cuti, sesuka hati sahaja dia bangun lewat. Nur Ain sudah banyak kali mengejutkan adiknya itu namun Ainul sengaja mengeraskan diri tidak mahu bangkit daripada tidur seperti esok tiada tidur buatnya lagi
“Ain, macam mana?” Soalan pertama ibu padanya pagi itu mengundang senyum Nur Ain.
“Ibu rasa macam mana?” Soal Nur Ain kembali. Mahu berteka-teki dengan ibunya. Wanita separuh umur itu tersenyum penuh makna.
“Ibu menurut saja keputusan awak,” jawab ibu. Tangannya ligat memotong sayur kangkung.
“Alhamdulillah, bu.” Hanya itu yang mampu Nur Ain ungkapkan. Ibu tersenyum lebar. Lega hatinya mendengar jawapan yang dikias oleh Nur Ain itu.
“Alhamdulillah..” Ucap ibu.
*****
Nur Ain binti Naim. Bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki bernama Mohd Adam Azfar memberi satu kebahagian buat dirinya. Rasa kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Seram sejuk tangan Nur Ain mengenggam tangan suaminya lantas di cium penuh hormat. Adam tersenyum bahagia kerana impiannya untuk memiliki Nur Ain menjadi kenyataan.
“Adam, ciumlah dahi Ain..” Usul satu suara. Nur Ain tersentak. Mahu sahaja dia berkata tidak namun kata-kata itu tidak terluah. Dia diam membisu. Hanya menunggu tindakan dari suaminya. Di minda sudah teringat-ingat mengenai jawapan tentang hukum mencium isteri selepas akad nikah di khalayak ramai. Satu persatu ayat-ayat itu menerjah masuk ke kotak mindanya.
Haram jika ada bukan mahram di majlis itu, makruh jika ada tetamu yang tidak suka dengan perbuatan itu dan haram hukumnya jika niat ingin tiru cara orang kafir. Lebih afdal tidak cium dahi/pipi/mulut. Memadai dengan bersalaman dan cium tangan jika ingin meneruskan tradisi ‘batal air sembahyang’.
 “Maaflah. Saya terpaksa menolak..” Suara itu serta merta membuatkan Nur Ain tersenyum gembira. Wajahnya diangkat merenung wajah suaminya. Terkedu dia seketika. Wajah itu.. Adam. Ya Allah!
Berdua-duaan dengan seorang lelaki di dalam satu bilik membuatkan Nur Ain rasa sedikit ganjil biarpun lelaki itu adalah suaminya sendiri. Dada Nur Ain berdebar-debar sejak selesai mengaminkan doa solat Isyak berimamkan suami sendiri buat kali pertama.
“Penat?” Soal Adam apabila melihat wajah keletihan Nur Ain.
“Sikit-sikit..” Ada getar di dalam suara lembut itu. Adam tertawa. Nur Ain terpinga-pinga.
“Kenapa ni? Berdebar ke?” Nur Ain rasa seperti batu menghempap kepalanya saat itu. Merah padam mukanya menahan malu. Di kerling suaminya yang santai di atas katil mereka dengan buku di tangan.
“Mana ada,” sangkal Nur Ain yang kaku di depan cermin soleknya. Rambutnya yang bertocang satu itu beralun mengikut rentak badannya.
“Tak sangkakan.. Enam tahun kita tak jumpa tapi tup-tup jadi suami isteri,” ujar Adam seraya tangan menggamit Nur Ain mendekatinya. Perlahan-lahan Nur Ain mengatur langkah mendekati suaminya.
“Nur..” Panggil Adam lembut. Nur Ain di sisi tersipu malu. Teragak-agak dia memandang suaminya.
“Ingat masa kali pertama kita jumpa? Depan pintu bilik guru?”
Adam mula membuka cerita lama mereka. Nur Ain mengangguk.
“Abang jatuh cinta pandang pertama kat Nur masa itulah. Nur pemalu sangat. Comel,” puji Adam jujur.
“Abang jatuh cinta pada Nur?”
“Ya. Sejak hari tu, tiap-tiap kali lepas solat abang akan berdoa moga-moga Allah jodohkan abang dengan Nur. Alhamdulillah, Dia memakbulkan doa abang setelah bertahun-tahun abang menunggu dengan sabar,” tulus ikhlas lelaki itu mengaku.
“Subhanallah!” Hanya itu yang mampu di ungkap Nur Ain. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa.
“Nur juga macam abang. Sejak kita berjumpa, Nur selalu berdoa agar jodoh Nur dengan abang namun jika bukan Nur redha. Nur harap semoga Allah akan mengurniakan seorang lelaki yang terbaik untuk Nur,” akui Nur Ain.
“Alhamdulillah. Jodoh Nur dengan abang. Semoga jodoh kita kekal hingga ke syurga ye, sayang,” doa Adam lantas memeluk isterinya. Satu ciuman singgah di dahi isterinya itu.
“Abang, Nur ada sesuatu untuk abang..”
Nur Ain mengatur langkah ke arah meja studinya. Laci di tarik. Diarinya di ambil lantas di bawa kepada suaminya. Adam menyambut huluran Nur Ain dengan perasaan pelik.
“Bacalah..”
Mata Adam terpaku pada tulisan tangan dengan dakwat pen berwarna merah isterinya.

Buat DIA YANG MENJADI IDAMAN HATI..
Ya Allah…
Seandainya telah Kau catatkan dia milikku dan tercipta untukku..
Satukanlah hatinya dengan hatiku..
Titipkanlah kebahagiaan antara kami..
Agar kebahagiaan itu abadi..
Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengasihani..
Seiringkanlah kami melayari hidup ini..
Ketepian yang sejahtera dan abadi..
Maka jodohkanlah kami..

Tetapi ya Allah…
Seandainya telah Kau takdirkan dia bukan milikku..
Bawalah dia jauh daripada pandanganku..
Luputkanlah dia daripada ingatanku..
Dan peliharalah aku daripada kekecewaan..

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti..
Berikanlah aku kekuatan..
Menolak bayangnya jauh ke dada langit..
Hilang bersama senja nan merah..
Agarku senantiasa senang..
Walaupun tanpa bersamanya..

Ya Allah yang tercinta..
Pasrahkan aku dengan takdir-Mu..
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan..
Adalah yang terbaik untukku..
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui..
Segala yang terbaik untuk hamba-Mu ini..
Cukuplah Engkau sahaja menjadi pemeliharaku di dunia dan akhirat..
Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini..
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian..
Menjerumuskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran..
Maka kurniakanlah aku pasangan yang beriman..
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup..
Ke jalan yang Engkau redhai..
Dan kurniakanlah aku keturunan yang soleh dan solehah..

Ya Allah..
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat..
Dan periharalah kami dari azab api neraka..
Amin.. Ya Rabbal’alamin.
M. ADAM AZFAR

“Untuk abang?” Soal Adam. Nur Ain mengangguk. Adam memandang tarikh catatan hati isterinya itu. 3 JUN 2009. 6 tahun yang lepas. Sehari selepas pertemuan mereka. Airmata kesyukuran menitis menuruni pipi Adam. Segera lelaki itu melakukan sujud syukur. Betapa besarnya kurniaan Allah S.W.T kepadanya.
Maksud firman Allah S.W.T “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran : 200)
Nur Ain mendapatkan Adam. Di seka airmata lelaki itu. Rsa syukur tidak henti-henti di panjatkan kepada Allah S.W.T.
“Terima kasih sayang sebab terima abang,” ucap Adam.
”Sama-sama abang.” Adam tersenyum manis.
“Abang, Nur nak tanya sesuatu.”
“Apa dia? Tanyalah..”
“Macam mana mak boleh masuk merisik Nur?”
“Wardah yang rancang,” jawab Adam jujur.
“Kenapa abang bagi nombor telefon abang?”
“Nak uji bakal isteri abang. Nak tahu kesabaran dan keyakinan Nur pada Allah S.W.T. Jika Nur call abang, mesti Nur tidak yakin dengan apa yang Nur rasa selepas Nur buat solat sunat istikharah tu.” Nur Ain tersenyum.
“Abang tahu Nur tak pernah tengok gambar abang tu,” kata-kata Adam mengejutkan Nur Ain.
“Macam mana abang..”
“Ibu bagitau sehari sebelum kita kahwin,” pintas Adam.
Nur Ain bahagia. Bahagia yang tidak terucap dengan kata-kata. Alhamdulillah, kesabarannya menunggu suaminya di makbulkan Allah dengan menjodohkan mereka berdua. Semoga cinta mereka di redhai Allah dan semoga mereka bercinta sehingga ke syurga. InsyaAllah. Selamat datang cinta ke dalam hidup kami.

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA : "Jika ALLAH SWT memakbulkan doamu, maka Allah meneguhkan kepercayaan mu kepadaNya",
"Jika ALLAH SWT menangguhkan doamu, maka ALLAH menguji kesabaranmu",
Jika ALLAH SWT TIDAK MEMAKBULKAN doamu, maka ALLAH telah merancang sesuatu yang lebih baik buatmu".
Sumber-sumber :