Friday, 13 September 2013

Kerana Dia Zaujahku Bab 13

Berdebar menunggu kepulangan Afliq. Masih samakah dia atau...? :)

Bunyi sudu yang berlaga dengan gelas bertingkah dengan bunyi sudip berlaga dengan kuali. Gaya macam perang dunia aje. Afliq sibuk dengan telur gorengnya manakala Hazman sibuk dengan air kopinya. Masing-masing begitu serius dengan kerja mereka.
Hazman tarik senyum. Wallah! Akhirnya siap juga air kopi terbaiknya. Dia pandang Afliq yang sedang memegang penutup periuk seperti pendekar memegang perisai. Dahinya berkerut. Macam tu sekali takut kena minyak panas? Heh, api neraka lagi panas kot.
Usai sahaja telur siap digoreng, Afliq membawanya ke meja makan ala-ala orang jepun itu. Hazman yang sudah dengan air kopinya melipat sila menunggu Afliq menghidangkan nasi untuk makan malam mereka.
“Abang, tolonglah ambil air. Apa pemalas sangat ni?” Bebel Afliq dengan muka tidak berpuas hati dengan periuk nasi ditangan.
“Air apa?”
“Air suam. Ingat aku telan ke air kopi kau tu?” Afliq meletakkan periuk nasi dihujung meja dengan beralaskan kain tebal. Dia kembali masuk ke dapur untuk mengambil pinggan.
“Ambillah sendiri,” Hazman buat muka nakal. Tapi, dia bangun juga berjalan membontoti Afliq ke dapur.
“Debik juga dia ni karang!” Afliq tayang muka geram. Hazman sengih comel. Jag air yang berisi air suam dicapai. Gelas turut diambil sebelum berlalu ke meja makan.
“Cuti summer ni kau balik?” Pinggan yang dihulur oleh Afliq diambil.
“Insya-Allah, balik. Kalau tak ada aral. Kau tak nak balik ke, bang?” Hazman ukir senyuman hambar.
“Tak kot.”
“Kau orang mana, bang?”
“Orang bumi,” selamba Hazman menjawab. Afliq dah mengetap bibir geram. Abang ni laa..
“Betul-betul la, bang. Kau asal mana? Johor? Kedah?” Hazman senyum mendengar soalan Afliq.
“Adalah. Kau tu dah booked tiket balik ke belum?” Hazman menyoal kembali.
“Dah. Insya-Allah, sehari lepas kita balik dari Deen Gathering tu nanti,” jawab Afliq. Dia menadah tangan berdoa.
“Nanti aku hantar kau pergi airport,” ujar Hazman. Afliq yang baru nak menyuapkan nasi ke mulut terhenti.
“Nak hantar naik apa? Kau drive ke, bang? Kereta siapa?” Hazman sengih.
“Kereta baru aku. Alhamdulilah, cuti lepas aku kerja. Dapatlah duit sikit-sikit buat beli kereta buruk tu,” Hazman angkat kening bangga. Afliq mencebik. Ceh, bagus sangatlah tu.
“Riak betul kau ye, bang.” Hazman tergelak.
“Tunggu kereta kau, tahun depan pun belum tentu aku nak merasa naik kereta baru.” Afliq angkat bahu. Bismillah kembali dibaca. Nasi disuap ke mulut.
Hazman tak kenal Afliq sekenal-kenalnya. Dia anggap Afliq itu anak kampung yang datang ke Auckland ni dan kena culture shock. Kalau tengok waktu Afliq masuk ke rumah tu, memang boleh jatuh rahang. Sempoi tak ingat dunia! Memang macam budak kampung. Tapi budak kampung yang sesat tak ingat dunia dan akhirat.
Dan Afliq, dia bukan jenis yang suka menunjuk-nunjuk apa yang dia ada. kalau orang anggap dia anak kampung pun, dia lagi suka. Terasa lebih dekat dengan ibunya. Terasa lebih dekat dengan nenek dan atuk yang sudah lama tidak diziarahinya. Bukan dia tidak mahu tapi nenek dan atuk yang tidak mahu menerimanya.
“Kampung kau kat mana?” soal Hazman tiba-tiba. Tersedak Afliq. Pantas dia mencapai air dan diteguk rakus. Gi-la! Nak bagi aku mati ke ni?
“Bang, bagi salam dulu boleh?” Afliq mencerlung pandang ke arah Hazman yang dah menayang sengih bersalah.
“Karang kalau aku bagi salam, mahu kau jatuh pengsan. Tiba-tiba pulak kena bagi salam kalau nak tanya soalan. Tak masuk akal langsung!” Ujar Hazman.
“Yelah! Kampung kat Terengganu.” Kampung nenek dengan atuk, desis hati Afliq.
“Kampung apa?”
“Kampung Bukit Rimau.” Hazman pandang Afliq.
“Ada harimau ke kat situ?” Afliq mendengus geram. Orang nak makan pun tak senanglah dia ni.
“Bang, makan dulu boleh tak? Kita cakap lepas ni.” Hazman sengih. Tahu salah sendiri.
Sorry. Teruja sangat nak tahu.” Masing-masing meneruskan suapan dalam suasana aman dan damai tanpa gangguan.
Bila berbicara soal kampong, hati dah rasa teruja nak balik ke sana. Sudah bertahun-tahun dia tidak pulang. Sama lagi ke jalan ke sana? Masih marahkah nenek dengan atuk padanya dan ibu? Tiadakah kemaafan buat cucu tunggalnya ini?

“Kau berambus dari sini. Aku tak nak tengok muka kau!” Suara keras Atuk meyapa pendengaran Afliq yang sedang tidur dibilik yang dihuni bersama Puan Maria beberapa jam yang lalu.
“Ayah, maafkan Maria,” suara esak tangis ibunya turut kedengaran. Afliq bingkas bangkit dari pembaringan. Dia pantas mendapatkan ibunya diruang tamu.
“Aku tak ada anak macam kau. Berambus aku kata!” Mata Atuk mencerlung pandang pada Afliq yang berdiri beberapa kaki darinya itu. Siapa tak sayang anak tapi kalau dah anak tu buat hatinya sakit, memang dia marah.
Bukan hatinya tak menangis apabila mengungkap kata-kata itu namun egonya meninggi. Anak yang disayang pulang dengan anak lelaki yang sudah besar walhal dia langsung tidak tahu bahawa anak tunggalnya itu sudah berkahwin dengan pilihan hati sewaktu menuntut diluar negara.
“Ayah, jangan halau Maria. Memang salah Maria sebab belakangkan ayah tapi tolonglah ayah. Maria datang nak temukan Am dengan atuk dan nenek dia,” rayu Puan Maria.
Nenek hanya mampu menangis melihat drama itu. Dia juga terkilan dengan perbuatan Puan Maria namun tidak disangka pula suaminya tergamak menghalau anak tunggal mereka itu.
“Aku tak ada cucu! Anak aku dah lama mati sejak dia kahwin dengan jantan tu tanpa pengetahuan aku!” Afliq tersentak.
Ibu kahwin dengan papa tanpa pengetahuan atuk? Apa semua ni? Afliq perlahan-lahan mendapatkan ibunya. Dia tahu ibu sedang sakit menahan rasa dihati dan penyakitnya.
“Ibu, jom kita balik,” ajak Afliq. Tidak sanggup untuk terus melihat ibunya melutut begitu. Dia memaut bahu ibunya dan membantu wanita itu berdiri.
“Maafkan Am, atuk. Maafkan Am, nenek.” Hanya itu yang dia katakan. Hanya itu yang mampu dia suarakan. Dia tahu salah ibunya. Dia sedar salah papanya.
“Am, ibu nak minta ampun dengan atuk Am,” ujar Puan Maria dengan tangisan yang makin menjadi-jadi.
“Ibu, kita balik dulu. Bila marah atuk dah reda, kita datang balik,” pujuk Afliq.
Puan Maria hanya mengangguk. Anaknya yang berusia 13 tahun itu membawanya keluar dari rumah itu. Dan itulah kali terakhir dia ke sana. Sakitnya semakin parah apatah lagi selepas suaminya membawa masuk madunya, Suria dan anak-anak tirinya ke Teratak Ohana mereka.
“Oit, menungkan apa? Pergilah basuh tangan tu dulu,” sergah Hazman apabila melihat Afliq diam tidak berkutik sambil memandang pinggan yang sudah disapu licin.
“Bang, kau pernah cakapkan. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa.” Afliq tarik nafas panjang. Hazman angguk. Gelas dicapai. Air suam dituang.
“Kalau tak dapat redha ibu bapa, Allah takkan redha pada kita, kan?” Hazman angguk lagi namun kening dah berkerut.
“Apa kes tanya soalan macam budak tadika ni?” Afliq tarik senyum. Hambar.
What if, dia mati tapi sampai sekarang ibu bapa dia masih marahkan dia?” Afliq pandang Hazman yang sedang meneguk air itu.
“Itu hal dia dengan Allah, Am. Aku tak boleh nak cakap lebih-lebih. Tapi kalau orang tu orang terdekat dengan kau, better kau pergi jumpa parents dia. Ask forgiveness from them on behalf of that person. Well, mana tau hati parents dia lembut. Usaha tu kena ada,” Hazman member nasihat. Afliq mengangguk faham.
Ibu, maafkan Am. Anak ibu ni banyak sangat berdosa dengan ibu. Am akan cuba pujuk atuk dengan nenek. Am takkan berputus asa. Ya Allah, tempatkan ibuku dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman. Sungguh, dia seorang ibu yang baik.

“Kakak dah tahu Along balik akhir bulan ni?” soalan Najihah membekukan segala pergerakan Ulfah. Pantas dikalih pandang pada Najihah yang sedang santai membaca novel Cinta High Class yang ditulis oleh Ustazah Fatimah Syarha bersama suaminya, Doktor Farhan Hadi.
“Dia nak balik?”
Yes. Along ada call malam tadi bagitahu mama,” jawab Najihah. Mata masih lekat pada deretan perkataan tanpa memandang Ulfah yang sedang mengemas buku-buku dan majalah diatas meja itu.
“Dia tak ada bagitahu akak ke?” sampuk Nadihah yang baru keluar dari dapur bersama satu jag air orange. Iman mengekori dari belakang dengan empat biji gelas.
“Tak ada. Dah berbulan tak contact dengan dia.”
“Bukan dah friend ke dekat facebook? Dekat ym pun dia tak ada bagi emel ke?” Iman pula menyoal. Ulfah melipat maut pandang Iman.
“Iman tau mana akak friend dengan dia?” soal Ulfah dengan riak terkejut.
“Err... Iman teka aje. Hehe...” Iman tayang sengih. Ulfah buat muka tidak percaya.
“Alah, kami semua dah tahu hal akak dengan Along. Tak payah nak sorok. Sekali tengok dah boleh teka la,” celah Najihah. Novel yang dibacanya ditutup.
“Eh, jangan nak main buat andaian aje okey. Akak dengan Along korang tu berkawan aje. Tak lebih...”
“Dan tak kurang. Kan?” sampuk Nadihah.
Ulfah mengetap bibir geram. Adik-adik Afliq memang suka mengusiknya. Hailah, nasib baiklah mereka ni menceriakan suasana kalau tidak memang dia tak sambutlah lawatan mereka ke rumah ni.
“Akak, nanti Ji nak pinjam buku ni ye,” ujar Najihah seraya menunjukkan novel Cinta High Class ditangannya. Ulfah hanya mengangguk.
Best ke, Ji?” Nadihah menghulurkan tangan meminta buku itu. Buku yang agak tebal itu bertukar tangan.
“Entah. Nampak macam best. Tanya Kak Fatma.” Nadihah pandang Ulfah yang menyambut gelas dari tangan Iman.
“Alhamdulillah. Best! Terbaik!” Ujar Ulfah sekali dengan gaya Boboiboy.
“Apa yang best?” Ulfah sengih.
“Kahwin ikut skema Allah dan Rasul,” selamba dia menjawab. Nadihah angguk faham. Iman turut menayang senyuman.
Siapa tak kenal pasangan Ustazah Fatimah Syarha dan Doktor Farhan Hadi? Cerita yang dihasilkan benar-benar mantap. Allah anugerahkan mereka idea dan kemampuan untuk menulis yang bisa menyentuh hati-hati manusia lebih mendekati Tuhannya.
“Abah akak mana?” soal Iman. Air orange itu dituang ke dalam gelas sendiri.
“Rumah kebajikan An-Nurr.”
“Setiap hari ke dia pergi sana?” Najihah menyoal seraya mencapai gelasnya yang dihulurkan oleh Nadihah.
“Tak jugak. Time weekend, ada aje dia kat rumah ni,” Ulfah mencapai gelas berisi air orange dan segera diminum usai membaca bismillah.
“Bila akak nak sambung study?” Iman pula kembali menyoal.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat ni.”
“Kat mana, kak?” Najihah pandang Ulfah.
“Mana-mana kolej yang terdekat.”
Suasana kembali sunyi tanpa suara. Hanya kedengaran bunyi televisyen dan gelas yang bersentuhan dengan permukaan meja. Ulfah memandang ke arah laptop putihnya yang diletak diatas meja makan.

Afliq langsung senyap sejak menghantar kata-kata padanya. Walaupun mereka pernah bertembung online facebook berkali-kali namun Afliq tetap membeku. Ulfah pula dengan egonya. Jika Afliq tidak menegur, buat apa dia terhegeh-hegeh? Dah jelas apa yang Afliq mesej padanya. Kalau ada jodoh, pasti mereka akan berjumpa dimasa hadapan.

No comments:

Post a Comment