Sunday, 25 August 2013

Kerana Dia Zaujahku Bab 5

Ulfah teragak-agak mahu membuka pintu. Suara Ikhwan masih kedengaran memanggilnya namun Ulfah takut. Takut perkara yang sama berulang lagi. Apatah lagi suara Afliq langsung tidak kedengaran menjamah halwa telinganya. Akhirnya dia hanya memeluk lutut sendiri di atas katil tanpa bergerak ke mana-mana.
“Ulfah, saya tinggalkan pakaian untuk awak kat depan pintu. Makanan ada bawah saji. Kalau nak apa-apa, boleh minta dengan adik saya, Iman. Pukul 2 nanti dia balik dari sekolah. Saya pergi kerja dulu,” laung Ikhwan selepas berputus asa untuk terus memanggil Ulfah.
Ulfah diam mendengar. Bunyi keriukan pintu melegakan gadis itu. Dia mengambil masa beberapa minit untuk keluar dari biliknya. Kepalanya terteleng ke kanan dan ke kiri untuk memastikan bahawa Ikhwan sudah pergi bekerja. Dia menarik nafas lega sebaik sahaja berasa yakin bahawa lelaki itu tiada.
Matanya menghala ke arah kaki. Satu plastik berjenama AspirasiHana mendapat perhatiannya. Bergegas dia mendapatkan plastik itu dan kembali masuk ke bilik. Dia melabuh sila di atas katil dan mula menyelongkar barang-barang yang penuh satu plastik itu.
Baju kurung cotton berbunga kecil warna ungu dan tanah berwarna putih susu.
Baju t-shirt labuh berwarna ungu muda.
Skirt labuh berwarna hitam.
Tudung bawal plain berwarna ungu muda.
Anak tudung warna hitam.
Pengikat rambut. Ada 2 pasang. Dua-dua berwarna ungu.
Sandal bersaiz 5.
Stoking panjang berwarna hitam.
Usai mengeluarkan semua barang-barang yang terdapat dalam beg plastik itu, satu nota melayang dihadapan mata. Ulfah pantas mencapai nota ringkas itu. Tulisan berangkai yang kemas itu dibaca oleh Ulfah dengan dahi berkerut.
Dear Ulfah Fatimah,
Aku tahu kau minat ungu so, everything is purple! Tudung and baju kurung tu aku minta tolong Iman pilihkan untuk kau. Sandal, anak tudung and pengikat rambut tu pun, Iman yang pilihkan. Baju t-shirt tu aku pilihkan tapi Ikhwan yang suggest supaya aku beli untuk kau. Kaki kau saiz 5 kan? Hope my guess is correct sebab kaki kau kecik! Stoking tu, Ikhwan yang berkeras nak aku pilihkan untuk kau. He told me that you should wear it to cover your aurat so I just bought it for you. Make sure you wear it!
                                                                                                            Afliq Arham.
Ulfah hampir menitiskan airmata membaca nota panjang itu. Oh, Ikhwan! You know me better! Thanks a lot. Thank you Allah for sending them to me. Ulfah mencapai tuala yang diberi oleh Ikhwan semalam kepadanya. Dia perlu membersihkan diri.
Usai membersihkan diri, Ulfah mengenakan baju t-shirt barunya itu dan dipadankan dengan skirt labuh sampai ke buku lali itu. Terasa diri lebih bersemangat untuk meneruskan hari-hari mendatang. Tudung dicapai dan dipakaikan kepala. Tangannya lincah membetulkan kedudukan tudung itu sebelum semuanya membeku. Eh, macam mana nak pakai tudung ni? Pin pun tak ada? Alamak! Ulfah menggaru kepala sendiri.
Pintu biliknya diketuk dengan kuat. Ulfah terkejut beruk. Dia mengurut dada sendiri. Ni nak bagi pintu roboh ke apa? Iman ke? Eh, bukan Ikhwan kata Iman balik pukul 2 petang ni ke? Ni baru pukul 10 pagi. Makhluk mana yang boleh terjah masuk rumah Ikhwan?
“Ulfah Fatimah, bukak pintu ni!” Suara Afliq begitu kuat kedengaran bersama ketukan dipintu.
“Kejaplah!” Balas Ulfah dengan nada geram. Tudung bawal itu hanya diikat reben dan bergegas membuka pintu bilik.
Afliq yang memandang terkaku. Ulfah ke ni? Ulfah pula terpinga-pinga. Afliq sudah bantai gelak sampai terduduk menekan perut. Berkerut dahi Ulfah melihat gelagat Afliq.
“Kau ni dah kenapa, hah?” Marah Ulfah.
“Kenapa pakai macam nenek kebayan ni? Kau tak reti pakai tudung ke?” soal Afliq. Ulfah mendengus geram.
“Pin tudung tak adalah!”
“Kau pergi ambil tudung sarung tu kat bilik Iman. Bilik dia kat tepi dapur tu,” arah Afliq seraya berlalu ke dapur.
“Cepat sikit. Aku ada bawak nasi lemak untuk kau ni,” laung Afliq dari dapur. Ulfah mengetap bibir geram. Semua benda yang disuruh Afliq, dia hanya menurut seperti lembu dicucuk hidung. Langsung tiada peluang untuk membantah.
Dalam pada memprotes, Ulfah gagahkan juga diri untuk ke bilik Iman. Masuk sahaja ke bilik gadis belasan tahun itu, matanya tertancap pada satu bingkai gambar yang memuatkan gambar keluarga.
Seorang lelaki separuh abad duduk di atas kerusi di sisi seorang wanita bertudung labuh. Ikhwan pula berdiri dibelakang kedua-dua orang tuanya dengan senyuman sambil memeluk bahu Iman. Mereka nampak bahagia!
“Ibu dengan ayah dah meninggal dua tahun lepas. Sekarang ni Ikhwan cuma ada Iman aje,” satu suara kedengaran berbisik dibelakang Ulfah. Gadis itu terkaku ditempatnya. Jika dia berpusing untuk melihat gerangan manusia itu, dia pasti akan bersentuhan dengan lelaki itu.
“Macam mana ibu dengan ayah boleh meninggal?” soal Ulfah. Nafas sudah terasa sesak. Kenapa mamat ni duduk dekat sangat? Alahai.
Accident.”
“Kesian.” Ulfah pandang wajah bersih ibu dan ayah Ikhwan. Semoga ditempatkan dikalangan orang yang beriman, amin!
Take your time. Dah siap pakai tudung, pergi dapur nanti. Makan,” ujar Afliq lantas menjauhkan dirinya sedikit dari Ulfah. Gadis itu mengangguk. Akur.
“Tudung cream tu nampak cantik kalau kau pakai,” sambung Afliq lagi. Ulfah berpusing mengadap lelaki itu. Dia buat muka geram. Afliq tayang sengih comelnya.
Seriously, memang cantik kalau kau pakai. Aku tak tipu,” tangan diangkat seperti bersumpah. Ulfah menjeling tajam.
“Boleh keluar tak?” Afliq angkat kedua-dua tangan. Surrender. Segera dia kembali ke dapur.
Ulfah kembali memandang bingkai gambar yang tergantung itu. Matanya terpaku pada tulisan di satu sudut bingkai itu. Tulisan kecil yang bisa menarik perhatian Ulfah untuk membaca dan menghayatinya. Tulisan Iman ke ni?
Bahagia itu ada dimana-mana
Setiap masa dan ketika
Bahagia itu ada pada hati
Dimiliki oleh insan yang inginkannya
- Iman sayang ibu dan ayah kerana Allah.
IMAN NURAINA, IKHWAN KHALISH
Bahagia. Ia ada di mana-mana. Ia ada di dalam hati setiap manusia yang mendambakannya. Semoga Iman dan Ikhwan bertemu dengan bahagia itu. Ya Allah, kuatkan hatiku sebagaimana Kau menguatkan hati Iman. Tabahkan aku sebagaimana Kau tabahkan hati Iman. Bimbinglah aku, ya Allah. Aku mahu bahagia. Bahagia dalam redha-Mu.
“Ulfah Fatimah!”
Gadis itu melepaskan keluhan. Afliq ni memang jenis manusia yang tak boleh tengok orang senang sikit ke? Semedang aje tahu macam mana nak sakitkan hati orang. Karang kalau aku mengamuk, ada jugak yang tercampak keluar dari tingkat 6 ni.
“Kejaplah. Tak boleh sabar sikit ke?” Balas Ulfah dengan nada mendatar. Tudung sarung dicapai.  Warna cream. Tudung yang Afliq suggest.
“Aku dah lapar ni.” Rengek Afliq.
“Ek eleh, makan la dulu. Tak payah nak buat baik tunggu aku,” cebik Ulfah.
Dia melabuhkan duduk di hadapan Afliq. Lelaki itu pandang wajah Ulfah dengan mata tidak berkelip. Cantiknya minah ni. Apa yang selalu Ikhwan sebut bila tengok something yang cantik? Hah, dia sebut Subhanallah!
“Subhanallah,” terpacul ayat itu dari bibir Afliq.
“Hah?” Ulfah mengerutkan dahi.
Dia pandang Afliq yang masih tidak berkelip memandangnya. Automatik dia membetulkan duduk dan buat touch up kepada pakaiannya. Manalah tahu ada yang terkoyak. Tu yang Afliq pandang sampai nak keluar biji mata! Ulfah geram. Afliq masih juga macam anak patung, langsung tak bergerak. Dia berdehem beberapa kali.
“Astaghfirullahalazim!” Ulfah menaikkan nada suaranya.
Afliq terpinga-pinga. “ Apa?” soalnya dengan menayang muka tidak berdosa. Dia membetulkan duduknya untuk menghilangkan rasa muka yang menebal itu.
“Bila tengok something yang buat kita amazed, kita ucap subhanallah. Tapi bila kita sedar kita dah buat dosa, cepat-cepat kena istighfar. Buat dosa tu termasuk jugak dengan pandang bini orang dengan fikiran yang entah apa-apa. Abah yang ajar,” selamba badak Ulfah menutur ayat. Memang dia bukan pelajar agama tapi kalau setakat benda basic tu dia tahulah. Apa guna jadi orang Islam kalau basic pun ke laut? Hampagas aje!
“Buat dosa? Bila?”
“Duduk berdua macam ni pun tengah kumpul dosa tau tapi sebab kau bawak makanan, takkan aku nak tinggal kau sensorang kat sini,” ujar Ulfah lantas menundukkan wajah.
“Pintu tu terbukak, okey. Grill aje yang berkunci and Allah knows what we doing in here. He knows everything, okay.”
And I know that when the two of us are alone, the third is Satan. So, tak clear lagi ke?” Afliq pandang Ulfah.
“Jom kahwin.” Ulfah ternganga. Senangnya mamat ni mengajak.
Hey, are you out of your mind?! Aku ni bini orang lagi tau! Jangan nak mengarut boleh tak?” Marah Ulfah.
Why not?”
Ulfah mengalihkan pandangannya ke sekitar ruang makan kecil yang bersambung dengan dapur itu. Inikah lelaki Melayu yang bergelar Islam? Apakah dia tidak tahu tentang hukum meminang atas pinangan saudaranya? Kasihannya dia!
“Kalau betul kau nak jadikan aku isteri kau, aku ada syarat.” Ulfah nekad.
Apa guna punya suami kalau tidak tahu tentang agama? Apa guna punya suami kalau dia tak mampu nak menjadi imam untuk isteri sendiri? Apa guna ada suami kalau perihal agama pun ke laut? Apa guna mahu jadi suami kalau tidak menitikberatkan soal agama? Paling penting, untuk apa kahwin kalau bukan sebab Allah dan mahu mencontohi sunnah Rasul-Nya?
“Apa?” Afliq sabar menanti.
“Mas kahwinnya nanti, aku nak surah An-Nuur. Hafal dan hadam maknanya sekali. Before akad nikah, kau kena tasmek (memperdengarkan) depan abah dan tok kadi. Setuju?” Afliq dah terlopong. Ulfah mencapai nasi bungkusnya dan selamba badak berlalu ke bilik.

Anis Najihah pandang kembarnya, Anis Nadihah. Si kembar angkat bahu. Masing-masing kembali menatap wajah si abang sulung.  Direnung satu persatu. Tangan kanan dipicit ke dahi. Tangan kiri pula dimainkan disekitar janggut sejemputnya itu. Sah! Memang si abang sulung ada masalah Negara.
“Along, ada masalah ke? Termenung aje,” tegur Nadihah.
“Dah tahu lagi mahu tanya ke?” Dingin suara itu membalas. Najihah dah menikus. Dia menarik lengan baju tidur si kakak kembarnya.
“Di, jom masuk bilik,” ajaknya dengan suara berbisik.
“Kejaplah, Ji. Kasihan kat Along tu. Takkan nak tinggal Along? Nak biar aje dia monyok macam tu?” bantah Nadihah.
“Along garang.”
“Along tak makan oranglah, Ji.” Najihah memuncung.
“Memang tak makan tapi nak telan orang aje,” gumam Najihah dengan nada rendah. Nadihah tersenyum. Najihah memang manja berbanding dirinya.
“Dia abang kita, Ji.”
“Tahu. Sebab tu dia ada dalam rumah ni. Kalau tak, dah lama Ji halau dengan batang penyapu,” Najihah mengerling si abang yang duduk berteleku atas sofa itu. Nadihah menarik si adik kembar untuk mendekati Along mereka.
“Kalau Along ada masalah, boleh bagitahu kami. Kot-kot kami boleh tolong Along,” lembut suara Nadihah menyapa halwa telinga Afliq.
Afliq pandang adik-adik kembarnya itu sekilas sebelum menghembuskan nafas berat. Dia bukan tidak rasa sayang kepada adik-adiknya itu namun dia bukan jenis lelaki yang pandai tunjuk rasa sayang itu. Bila dia rasa perlu sahaja baru dia akan tunjuk itupun dengan cara yang susah untuk orang faham.
Lagipun, adik beradiknya yang berlainan ibu itu takut mahu mendekatinya. Afliq pula tidak pernah mahu melayan adik-adiknya dengan lebih lembut. Dia main aci redah aje. Ikut kepala sendiri tanpa fikir perasaan orang sekeliling.
“Duduk,” arahnya.
Nadihah mengangguk pantas lantas menarik Najihah untuk duduk bersamanya. Najihah melangkah dengan berat hati mengikuti si kakak.
“Ji dengan Di sekolah agama kan?” Adik-adik berduanya itu mengangguk.
“Kenapa nak sekolah agama?” Najihah menunduk. Langsung tidak mahu menentang mata si abang. Hanya Nadihah yang berani.
“Kenapa Along tanya macam tu?”
“Bila Along tanya, jawab ajelah.” Afliq mendengus tidak suka.
“Mama yang hantar. Dia kata walaupun dia bukan baik sangat, at least dia nak anak-anak dia tahu agama. Kenal Allah, kenal Rasul, kenal sahabat-sahabat. Paling penting, anak-anak dia amal segala perintah Allah,” jawab Nadihah yakin.
“So, Di pergi sana bukan atas kehendak diri?” Nadihah tersenyum.
Honestly, mula-mula tu Di pergi sebab mama. Sekarang, Alhamdulillah Di pergi kerana Allah.”
“Kalau Di dengan Ji tahu tentang agama, apa yang korang nak buat dengan papa and mama tu? Takkan nak biarkan aje diorang macam tu? Abai soal agama, lalai dengan dunia sampai anak sendiri pun jadi macam ni?” Nadihah menunduk.
Dia tahu siapa anak sendiri yang Afliq katakan itu. Dia sendiri pernah rasa apa yang Afliq rasa waktu pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah agama itu 4 tahun lalu. Namun dia bernasib baik kerana punya Najihah dan sahabat-sahabat yang sudi membantu.
Tapi Afliq? Abangnya itu membesar dalam kemewahan. Tiada langsung tarbiyyah agama diberikan padanya. Hanya selepas mengenali Ikhwan barulah abangnya itu sedikit sebanyak berubah.
“Ustaz pernah bagitahu, kita memang tak boleh paksa orang ikut kehendak kita tapi dakwah ni bukan sekadar memberi tazkirah. Kita boleh berdakwah dengan cara kita sendiri. Contoh, bila Ji dengan Di pakai tudung, mama pun dah start beli tudung sarung tu untuk tutup rambut dia. Itu cara dakwah kami untuk tarik mama dan papa. Takkan kami nak biarkan keluarga kami terus ditakuk lama. Kami nak ke syurga bersama-sama orang yang kami sayang,” panjang lebar Nadihah berbicara.
Afliq menunduk. Selalu juga Ikhwan mengucapkan kata-kata itu kepadanya namun dia tidak ambil kisah. Kata Ikhwan, di akhirat nanti kita akan bersama-sama dengan apa yang kita sayang atau cinta. Kalau kita cintakan Rasulullah, pasti kita akan bersama Baginda.
“Layak ke Along?” suara itu menggumam rendah.
“Selagi nafas masih dijasad, selagi itu pintu taubat terbuka luas, Along. Antara nak dengan tak nak aje,” sampuk Najihah yang tadinya menikus.
“Tapi, kalau nak belajar agama kena ada guru. Tak boleh belajar sendiri main aci redah aje,” sambung Najihah lagi.
Afliq bingkas bangun berdiri. Dia mengatur langkah menuju ke tangga. Baru sahaja melangkah ke tangga pertama, dia menghentikan langkah. Kepalanya dipusing memandang adik kembarnya di ruang tamu.
Thanks. Good night, sis,” ujar Afliq pantas berlalu ke biliknya.
Najihah dan Nadihah terlopong. Segera mata ditala ke arah jam dinding besar gedabak itu. Baru pukul 10 malam. Along tak keluar ke malam ni?
“Apa kena dengan Along tu, Di?”
“Entah. Along dah buang tabiat lama dia ke laut ke malam ni?” Najihah menggeleng tidak tahu.
“Along dah nak mati ke, Di?”
“Uish! Ada pulak tanya macam tu. Doakan yang terbaik buat Along.” Najihah tayang sengih.
“Kalau Along betul-betul nak berubah, Ji orang paling gembira. Ji sayang Along walaupun Along tak sayang kita, Di,” ujar Najihah dengan nada sayu. Nadihah pandang wajah kembarnya itu.
“Along sayang kita cuma dia tak pernah tunjuk aje. Ji ingat masa kita kena kacau dengan samseng waktu pulang dari sekolah?” Najihah pandang Nadihah.
“Masa kita form 2 ke?” Nadihah mengangguk.
“Along pergi belasah samseng tu lepas dengar mama menangis sebab kita kena kacau. Along pergi dengan abang Ikhwan. Abang Ikhwan cakap, Along naik hantu masa tu. Along belasah samseng tu sampai lembik sebab tu Along kena tahan dalam lokap and papa potong elaun Along,” cerita Nadihah.
“Mama tak bagitahu apa-apa pun. Papa cakap Along join kumpulan samseng sebab tu elaun Along kena potong. Kenapa Along senyap aje?”  Najihah terkejut dengan kenyataan yang baru didengarinya itu.
“Dia bukan suka tunjuk apa yang dia buat. Dia banyak berahsia sebab tu Di tak boleh tinggalkan Along bila tengok dia ada masalah. Di sayang Along macam Di sayang Ji, papa dan mama. Dia abang kita dunia akhirat, Ji.” Nadihah menarik senyum namun ternyata hambar.
“Dia kuat, Ji. Walau hebat mana ujian datang pada dia, Along tak pernah merungut. Dia terima seadanya. Cuma, Along kurang didikan agama. Papa pula asyik sibuk dengan bisnes dia sampai Along terabai. Kasihan Along,” sambung Nadihah lagi.

“Sama-sama kita doakan Along ye, Di.” Nadihah menarik adiknya ke dalam pelukan. Doanya moga suatu masa nanti, dia mampu untuk memeluk Afliq sebagaimana dia memeluk Najihah.

* Ada terfikir nak tukar tajuk Kasih Fatimah tu tapi.... Siapa2 yg bermurah hati nak tolong crikan tjuk baru, boleh la tolong yee... :) Nk tjuk yg pling ringkas, xmo jiwang2. Hehe... 

No comments:

Post a Comment