Tuesday 8 November 2016

Bukan Mahuku [Versi Blog] BAB 1


Nafasku hela berat. Haruman lavendar di segenap sudut kamar itu sedikit sebanyak memberikan ketenangan dalam hatiku yang libang libu ini. Hampir setahun aku menjadi penghuni di rumah agam ini namun hidupku semakin terasa kosong. Bukan tidak pernah Along, abah atau ummi cuba untuk berborak denganku namun semuanya aku tolak. Aku masih tidak mampu untuk menerima mereka. Cukup sekadar aku masih menghirup udara yang sama dengan mereka.
“Aien, boleh ucu masuk?” suara bernada lembut itu kedengaran, masih juga seperti hari-hari biasa yang lain.
“Ya, ucu? Masuklah.” Aku tarik senyum. Hanya dengan ucu, ibu saudaraku ini sahaja aku masih mampu menghulurkan senyuman. Mungkin kerana ucu yang bersusah payah menjagaku sejak setahun yang lepas. Sewaktu kali pertama aku menjejakkan kaki ke rumah ini.
“Ucu dengan ummi dah siapkan makanan untuk Aien. Hari ni ummi masak lauk kegemaran Aien. Nak makan terus atau macam mana?” soal ucu.
Aku bingkas bangkit dari dudukku. Mengagau mencari tongkat yang aku sandarkan pada kepala katil.
“Makan terus boleh, ucu? Aien dah lapar. Lepas makan je, kita terus solat Zohor ye,” putusku.
“Tak apa. Ucu tolong Aien.” ujar ucu. Derap langkah ucu laju mendapatkanku. Memaut lenganku erat.
“Terima kasih, ucu.” ucapku dengan senyuman yang masih tersungging dipinggir bibir. Langkah ucu aku ikuti perlahan.
“Aien duduk kat sini.” Bunyi kerusi ditarik jelas pada telingaku. Perlahan-lahan aku didudukkan oleh ucu.
“Ucu pergi ambilkan makanan untuk Aien kejap. Nanti kita makan sama-sama.” kata ucu. Laju-laju aku paut lengan ucu sebelum ucu berlalu meninggalkan aku.
“Mereka semua dah makan ke?” soalku dengan teragak-agak. Tidak mahu ucu berfikir bahawa aku mahu mengambil berat tentang keluargaku itu.
“Belum lagi. Ummi Aien cakap nak tunggu abah balik dari masjid.” jawab ucu.
Aku mengangguk sebelum lengan ucu itu aku lepaskan. Pastinya ucu sedang tersenyum memandangku. Aku kenal ucu dan gerak gerinya. Setahun bersama ucu dalam keadaan begini, aku sudah pandai meneka emosi ucu.
“Aien tunggu sekejap ye,” ujar ucu seraya menepuk bahuku beberapa kali.
“Okey, ucu.” Aku mengangguk. Menunggu ketibaan ucu bersama-sama dengan makanan tengah hariku seperti biasa.
Bunyi keriukan pintu membuatkan hatiku riang. Namun aroma makanan tidak pula menusuk ke hidungku. Aku mengerutkan dahi.
“Ucu?” Aku memberanikan diri untuk menyoal. Namun tiada balasan. Jantungku berdegup laju secara tiba-tiba apatah lagi derapan langkah itu mula kedengaran mendekatiku. Haruman asing juga sudah mula dapat ku hidu.
“Siapa?” soalku. Secara mendadak aku bingkas dari dudukku dan berdiri dalam keadaan siap siaga. Tongkat ditangan aku genggam utuh.
Aku kenal setiap haruman yang digunakan oleh orang di dalam rumah agam ini. Jadi, kalau sesiapa sahaja yang masuk ke bilik ini selain daripada ucu, aku memang buat tak layan aje. Cuma, haruman yang memenuhi ruang bilikku ini bukan haruman orang yang aku kenal.
“Assalamualaikum.” Pemilik haruman asing itu bersuara jua. Aku menarik nafas lega.
“Maaf sebab mummy masuk tak ketuk pintu bilik. Mummy teruja sangat nak jumpa Aien,” suara itu menyambung bicaranya.
Mummy? Sejak bila pula aku ada mummy ni? Takkanlah abah kahwin lain?
“Err…” Aku teragak-agak mahu bersuara. Langkahku secara tidak langsung mengundur ke belakang sebaik sahaja langkah wanita asing itu setapak mara ke arahku.
“Puan Anggun…” Suara ucu kedengaran dari jauh. Langkah aku dan wanita asing itu mati. Sesaat, masing-masing statik berdiri tanpa sebarang gerakan.
“Puan turunlah ke bawah dulu. Bilik anak saudara saya ni bersepah sikit.” Suara ucu makin jelas pada pendengaranku. Pastinya ucu sudah berada di hadapan pintu bilikku.
“Eh, tak apa. Bilik Aien okey aje. Pandai Aien jaga bilik ni,” puji wanita asing itu.
Entah mengapa aku rasa tidak senang pada pujian itu walaupun aku yakin bahawa wanita itu ikhlas memuji. Langsung tidak terselit nada sinis pada kata-katanya. Namun rasa tidak senang itu tetap juga hadir menjentik hatiku.
“Mungkin Aien buta tapi Aien masih boleh jaga bilik Aien sendiri.” Aku balas dengan nada mendatar. Tidak mahu menghangatkan bara dihatiku dan juga tidak mahu berkurang ajar dengan wanita bernama Puan Anggun itu.
“Aien, jangan salah faham dengan kata-kata mummy. Bukan itu maksud mummy,” ujar wanita yang masih menggelarkan dirinya mummy itu.
Mahu saja aku menjerit, memberitahunya bahawa dia bukan mummyku dan dia tidak perlu menggunakan panggilan itu bila denganku. Panggilan ummi juga masih belum terbiasa pada mulutku apatah lagi mahu memanggil wanita lain dengan panggilan mummy.
It’s okey.” Aku ketap bibir. Memalingkan wajah ke sisi kanan. Memberitahu dalam diam bahawa aku tidak menginginkan kehadiran ‘mummy’ di kamar milikku itu.
“Em. Mummy tunggu Aien kat bawah ye.” Wanita asing itu akur jua.
Mungkin dia faham tentang bahasa tubuhku yang menolak kehadirannya ataupun ucu ada memberi isyarat dalam diam kepadanya. Aku tidak pasti tentang itu. Apa yang aku pasti, dia terasa dengan tingkahku yang menolak kehadirannya. Tapi apakan daya, aku berat hati mahu meminta maaf kepadanya saat itu.
“Tak elok tau halau orang macam tu.” Ucu menegurku saat ruang kamar itu hanya diisi oleh batang tubuh kami berdua.
“Aien tak kenal dia.” Aku jawab dengan nada perlahan.
“Tak kenal tak bermakna Aien tak boleh hormat dia. Puan Anggun tu dah baya-baya ummi Aien tau,” balas ucu, masih mahu menasihatiku. Mungkin juga mahu memberitahuku secara tidak langsung bahawa aku juga perlu menghormati ummi.
“Aien ada kurang ajar ke dengan dia tadi? Rasanya Aien minta dengan cara elok untuk dia keluar dari bilik ni. Aien tak ada pula tengking dia,” ujarku, masih mahu memenangkan hujah sendiri.
“Ya, ucu tahu Aien tak tengking dia. Tapi Aien, cara Aien tu tak betul. Your body language tu memang dah nampak sangat yang Aien halau dia. Ucu rasa kalau Aien guna ayat kiasan lagi elok rasanya bila berdepan dengan orang yang lebih tua.” Ucu memuntahkan pendapatnya.
“Habis ayat macam mana yang nampak sopan sangat tu?” soalku dengan helaan nafas berat. Susahnya nak puaskan hati seorang ucu ni!
“Cakaplah dengan dia yang Aien nak bersiap. Minta dia tunggu dekat bawah, nanti Aien turun jumpa dia. Hah, kan elok cakap macam tu daripada bagi signal pusing muka sebelah kanan tu?” Ucu sempat memerliku.
“Iyalah. Salah Aien.” Aku mengalah. Dah memang terang-terang salah aku, nak nafi secara bermati-matian pun macam tak sesuai. Lagak orang bodoh sombong aje. Dah salah tapi nak juga tegakkan benang yang basah.
“Baguslah kalau dah tahu salah Aien. So, dah boleh bersiap sekarang?” soal ucu lantas memaut lenganku.
“Makanan Aien?” Aku memuncung. Tidak mahu berganjak dari tempatku berdiri kala ucu mula menarik tubuhku.
“Kejap lagi kita makan. Tapi, sekarang ni ucu tolong Aien ambil wudhuk, lepas tu solat. Nanti ucu tolong make up Aien sikit kasi berseri muka Aien tu,” jawab ucu dengan nada teruja. Ucu masih juga berkeras mahu menarik tubuhku untuk mengikuti langkahnya.
“Buat apa nak make up bagai ni, ucu?” soalku dengan nada tidak berpuas hati.
Someone special nak jumpa Aien.” Jawapan ucu membuatkan dahiku semakin berkerut.
Someone special? Siapa? Mummy tadi tu ke?” Aku masih menagih jawapan.
Ucu pula sudah menarikku menuju ke bilik air. Sempat dia sambar tongkatku sebelum sepenuhnya mengambil alih tugas tongkatku itu. Menjadi penentu arah buatku biarpun aku sudah menghafal segenap ceruk penjuru bilik ini.
The guy yang pandai guna braille.” Jawapan ucu membuatkan jantungku hampir gugur. Benarkah apa yang aku dengar ni? He’s here? Dia benar-benar ada di sini untuk bertemu aku? Jadi kakak aku tak tipu? Ya Allah!

1 comment:

  1. Salam rakan penulisku,Teruskan usaha menghasilkan karya..semoga terus maju...jangan lupa juga lawat blog sya ya kat https://ceritaberemosi.blogspot.my/

    ReplyDelete