Sunday, 14 October 2012

Luahan Hati Seorang Anak

Luahan ni dah lama tapi masih disimpan sehingga kini... Mungkin ayat yang digunakan pun masih belum matang.. Maaf untuk itu... Saya tak nak edit... Biarlah apa yang saya rasa saat itu sentiasa segar melalui tulisan ini... Mom, you're the best and always be.


Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa bersemi selamanya.
Ibu ana seorang yang rajin bekerja untuk menyara keluarga. Kami tidak sesenang orang lain. Ibu dan ayah ana cuma bekerja menorah getah di samping ayah ana turut sering masuk ke hutan mencari petai. Ayah ana memang seorang yang kuat semangat. Dia pernah ditimpa oleh batang kayu dan sehingga kini parut itu masih ada namun semangatnya untuk mencari rezek buat kami tidak pernah padam.
Mungkin ramai yang tidak sanggup melakukan kerja seperti itu namun bagi ana kerja itu kerja mulia. Ana tidak mungkin akan jadi seperti hari ini jika bukan kerana ibu dan ayah ana. Mereka kekuatan ana. Mereka pendorong ana untuk terus memajukan diri ana. Mereka contoh yang terbaik buat ana. Mereka adalah sayap kiri dan kanan ana.
Masih jelas di ingatan ana sewaktu ana masih berada di sekolah rendah. Setiap kali cuti sekolah, kami semua adik beradik yang sewaktu itu 5 orang (abang ana yang sulung,kedua dan ketiga tidak tinggal bersama kami waktu itu) bersusah payah menolong ibu dan ayah kami dikebun getah.
Masih terasa genggaman guni yang digunakan untuk mengutip susu getah yang telah keras. Masih terasa peluh membasahi wajah ana ketika menarik karung guni yang berat itu untuk dikumpulkan disuatu tempat sebelum lori datang mengangkut. Masih terngiang-ngiang suara dengungan nyamuk yang cuba menghisap darah ana. Biarkan. Biarkan mereka! Ana tidak kisah semua itu. Apa yang penting bagi ana ialah ana mampu meringankan sedikit beban ibu dan ayah ana.
Letih! Lelah! Apa yang ana rasakan itu tidak sehebat apa yang ibu dan ayah ana rasakan. Mereka tidak pernah menunjukkan rasa letih mereka kepada kami. Tidak pernah menunjukkan rasa lelah di hadapan kami. Peluh yang mengalir membasahi baju mereka memberitahu ana bahawa bukan sedikit keringat yang mereka kerah semata-mata untuk mendapatkan duit yang halal, untuk membesarkan anak-anak mereka.
2008. Tahun yang memberi tamparan hebat kepada ana dan keluarga. Ibu yang ana panggil mak telah ditakdirkan pergi menemui Penciptanya pada usianya menginjak umur 43 tahun. Sewaktu ana masih di tingkatan 4. Sewaktu ana masih belum puas bermanja dengannya. Sewaktu ana masih belajar mengurus diri ana. Sewaktu ana masih belum matang dalam menghadapi hidup ini sendiri tanpa bantuan dari seorang ibu. Sewaktu ana masih memerlukan perhatian darinya. Ya Allah, besar ujian-Mu ini kepada ana.
Ana terasa kehilangan namun ana bersyukur kerana Allah meminjamkan ibu ana kepada ana. Ana sedar bahawa setiap apa yang hidup pasti akan mati kerana kita semua adalah milik Allah. Ibu ana pergi dengan derita penyakit yang dibawa bersama. Dia tidak pernah menunjukkan rasa sakitnya kepada kami adik beradik.
Pernah suatu ketika kakak ana bertanya kepada ibu ana. “Mak, sakit ke kena cucuk dengan jarum?” Ibu ana hanya tersenyum sambil berkata, “ Tak sakit pun. Rasa macam kena gigit dengan semut.” Biarpun badannya penuh dengan lebam-lebam biru kerana kesilapan doktor mencucuknya sewaktu mengambil darah dan untuk memasukkan air ke dalam badan ibu ana namun dia masih mampu tersenyum. Ana yang melihat mampu merasai kesakitan itu apatah lagi ibu ana yang merasainya. Ah, ibu ana memang seorang yang kuat!
Sewaktu doktor mahu membedah ibu ana untuk mengambil air tulang belakang, ibu dan ayah ana hanya menurut. Tujuannya adalah untuk mengetahui penyakit yang dihadapi oleh ibu ana. Waktu itu hanya ayah ana yamg menemani ibu ana. Mereka tidak tahu bahayanya pembedahan itu.
Ibu ana hanya menurut kerana katanya dia mahu cepat sembuh. Mahu bersama-sama suami dan anak-anaknya. Dia tidak tahu bahawa risiko mengambil air tulang sum-sum itu adalah antara mati atau hidup namun hidup yang tidak akan sempurna dan normal.
Ibu ana tidak koma lama seperti orang lain selepas pembedahan. Ibu ana terjaga selepas 4 jam pembedahan itu. Dia menangis. Dia sakit. Dia mengadu kepada nenek ana namun hanya airmata yang kami dapat berikan. Dia pernah berdoa agar Allah mengambil nyawanya kerana sakit yang di alaminya tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Doktor mengambil keputusan untuk mengkomakan ibu ana.
Ana sempat berjumpa dengannya sebelum mata itu tertutup. Dia memandang ana namun dia tidak mengenali ana. Betapa luluh hati ana waktu itu. Ibu yang selama ini bersama ana tidak mengenali ana. Ibu ana pergi buat selama-lamanya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Hilang sudah seorang anak Adam menuju ke alam kekal abadi.
Ana kehilangan sebelah sayap. Ketika itu ana rasakan seluruh hidup ana turut pergi bersamanya. Ana menangis. Ana terus menangis tanpa henti. Ya Allah, tabahkan hati ana. Kuatkan diri ana untuk menghadapi semua ini kerana ana yakin setiap yang hidup pasti akan mati.
Ana bacakan surah Yassin untuk ibu ana. Ana kucup dahinya sebelum wajah itu ditutup kain putih. Ana tatap wajahnya buat kali terakhir sepuas-puasnya. Tenang. Tiada duka diwajah itu. Tiada keletihan terpamer diwajah itu. Di sini ana cuma mampu mendoakan kesejahteraan ibu ana. Semoga dia di tempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.

p/s : sayangi ibu anda kerana seorang ibu tidak akan dapat di beli di mana-mana jika kita kehilangannya. Ibu ibarat permata berharga yang sekali kita kehilangannya,dunia pun tidak mampu menjadi galang ganti untuk mengembalikan permata berharga itu. Sekadar renungan buat sahabat-sahabat ana.

Selamat Datang Cinta

Assalamualaikum dan salam sayang to all readers...
Cerpen ni dah lama saya create... Dah pernah hantar kat blog 7streetwriters (http://sevenstreetwriters.blogspot.com/)... Maybe ada yang dah baca dan maybe ada yang belum... Semoga apa yang saya sampaikan ni memberi manfaat buat kita semua...

Nur Ain  memandang wajah ibunya sekilas. Gadis itu hanya terdiam di atas sofa di ruang tamu rumah mereka. Televisyen yang terpasang tidak menarik minatnya saat itu. Suara ibunya lebih menggetarkan hatinya. Perkhabaran yang dihulurkan oleh ibunya seakan satu seksaan dihatinya. Berpinar-pinar matanya saat itu.
“Awak setuju?” Soalan ibu mengejutkan anak gadisnya. Kedengaran gadis itu beristighfar.
“Saya tak tahu, ibu,” jawab Nur Ain dengan suara sedikit bergetar. Dapat dirasakan badannya seram sejuk kala itu.
“Ibu tak paksa awak, sayang. Awak fikirlah dulu semasak-masaknya. Ambil masa secukupnya,” ujar ibu yang mahu menyedapkan hati anaknya.
Matanya beralih ke arah sekeping gambar yang terletak di bawah kotak baldu berwarna merah itu. Gambar yang di terbalikkan ke belakang itu langsung tidak mengundang keinginan di hati anak gadisnya untuk melihat wajah pemilik tuan punya kotak baldu itu.
“Bila mereka nak tahu keputusannya, ibu?”
“InsyaAllah, minggu depan katanya.”
Nur Ain menarik nafas panjang lantas perlahan-lahan di hela. Ya Allah, berikan hamba-Mu ini kekuatan!
“Cepatnya..”
“Mereka nak kahwinkan terus kalau awak setuju,” kata ibu dengan nada tenang.
“Siapa, bu? Abang ipar saya ke?” Soal Ainul tiba-tiba. Gadis itu yang baru keluar daripada bilik pantas mendapatkan kakak dan ibunya.
“Awak dah solat Isyak ke ni?” Soal si kakak tanpa menghiraukan pertanyaan adik bongsunya itu.
“Dah solatlah. Ibu, betul ke petang tadi ada orang datang merisik akak? Saya dengar bakal abang ipar saya tu seorang arkitek.”
“Adik, awak jangan nak menyibuklah,” pintas Nur Ain dengan wajah sedikit berkerut.
“Saya nak tahu jugaklah. Awak tu kakak saya. Saya kena tahu siapa bakal suami kakak saya. Betul tak ibu?” Soal gadis lincah itu lagi dengan mata bersinar-sinar. Macam dia pulak yang nak kahwin, desis hati Nur Ain.
“Awak ni suka sangat bergaduh dengan kakak awak. Pening ibu tau,” ujar ibu. Ainul tertawa melihat wajah berkerut ibunya itu.
“Alah, bukan selalu dapat kacau kakak ni. Nanti bila dia dah kahwin, tak ada peluanglah saya nak kenakan dia,” usik Ainul. Merah padam muka Nur Ain menahan malu.
“Awak ni memang suka usik saya la,” balas Nur Ain lantas mencubit paha si adik. Terjerit kecil gadis itu.
“Sakitlah, kakak!”
“Padan muka!” Ibu hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua anaknya itu. Terubat rindunya pada suami yang telah 5 tahun meniggalkan mereka.
“Ibu, nanti saya bagitau ibu balik ye,” ujar Nur Ain seraya mengenggam tangan si ibu.
“Baiklah, sayang. Ibu tahu awak akan buat pilihan yang terbaik untuk diri awak,” kata ibu lantas mengusap tangan anaknya itu. Ainul hanya tersenyum.
“Saya masuk bilik dulu, ibu,” pinta Nur Ain apabila rasa mengantuk sudah bertandang. Dia memang begitu. Seawal pukul 11 malam, dia sudah siap sedia untuk beradu. Apabila menjelang sepertiga malam, gadis itu akan bangkit untuk berdating dengan pemilik hatinya.
Nur Ain mencium tangan si ibu dan merangkul badan tua itu seerat-eratnya. Setelah meminta maaf daripada ibu, giliran Ainul pula meminta maaf daripada si kakak dan bersalaman dengan Nur Ain.
“Selamat malam, akak! Sayang akak ketat-ketat,” ujar Ainul dengan ketawa manjanya.
“Akak sayang awak jugak,” balas Nur Ain seraya mengusap ubun-ubun si adik dengan penuh kasih.
“Ain, awak tak nak tengok gambar dia?” Soal ibu.
“Biarlah jadi rahsia, bu,” ujar Nur Ain. Matanya memandang belakang gambar itu sekilas. Tertera nombor telefon di salah satu sudut gambar itu. Mungkinkah nombor lelaki itu?
“Ibu simpan dulu ye,” pinta ibu. Nur Ain mengangguk laju. Ibu tersenyum bangga. Abang, ini anak abang yang abang asuh dulu. Anak abang yang abang didik agar menjadi seorang muslimah sejati. Alhamdulillah, abang. Nur Ain membenarkan impian abang menjadi kenyataan, desis hati ibu.
Nur Ain melangkah masuk ke biliknya yang terletak di sebelah bilik ibu. Sebaik sahaja masuk ke bilik, gadis itu perlahan-lahan menapak ke arah meja studinya. Laci di tarik. Diari kesayangannya itu di ambil lantas di belek satu persatu muka surat yang penuh dengan tulisan tangannya. Di dalam hati, doanya tidak putus-putus buat Yang Esa.
Ya Allah, jika benar dia adalah jodohku Kau bukakanlah hatiku untuk menerima dirinya. Kau dekatkan kami dengan ikatan suci, rapatkan kami dengan mengikut sunnah Nabi dan redhakan hati kami untuk saling mencintai sehingga ke syurga-Mu.
Nur Ain terhenti pada satu halaman yang paling akhir. Tertulis di situ dengan dakwat pen berwarna merah. Berkali-kali Nur Ain membacanya sehingga gugur airmata gadis itu. Rasa takut menyelinap ke segenap urat nadi. Rasa bersalah menghantui dirinya.
Ya Allah, berdosakah aku seandainya aku masih punya rasa buat dirinya? Ibu, maafkan saya. Ternyata saya masih belum mampu melupakan dirinya. Ya Allah, berikan kekuatan untukku agar aku mampu memberi ruang hatiku untuk bakal suamiku. Airmata gadis itu terus menitis. Tidurnya di temani rasa gentar terhadap pemilik hidup dan matinya.
*****
Nur Ain menundukkan wajahnya. Rasa malu yang menebal membuatkan dia menunduk menjaga pandangan matanya. Teringat tentang satu sabda Rasulullah yang pernah di baca di dalam blog seorang ukhti. Maksudnya “ Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satu di angkat maka yang lain pun akan terangkat.” (HR. Al Hakim dalam Mustadroknya 1/73. Al Hakim mengatakan sesuai syarat Bukhari Muslim, begitu pula Adz Dzahabi).
“ Assalamualaikum..” Lembut suara itu menyapa di pendengaran Nur Ain namun gadis itu sangat segan untuk memandang empunya suara itu.
“Wa’alaikumsalam..” Jawab gadis itu serentak dengan Wardah, teman baiknya. Kaki Nur Ain seakan terpaku mengadap pintu bilik guru itu. Matanya hanya memandang kasut milik orang yang memberi salam itu. Head prefect?
“Awak berdua nak jumpa Cikgu Azmi ke?”
“Ya. Awak nak jumpa cikgu jugak ke?” Soal Wardah kembali. Matanya memandang lelaki yang berkulit putih dan bercermin mata itu. Senyuman ikhlas menghiasi wajah jernihnya. Terpaku Wardah sesaat namun segera beristighfar menghalau bisikan-bisikan syaitan yang menyesatkan.
Nur Ain terdiam menunduk melihat kasut sekolah berwarna hitamnya. Dia tahu dia sedang berhadapan dengan siapa. Seorang anak muda yang di segani kerana kepimpinan dan kewibawaannya. Ciri-ciri seorang lelaki beriman ada pada lelaki itu menjadi idaman semua muslimah yang bakal menjadi seorang isteri. Nur Ain terasa nafasnya tersekat. Jantungnya semakin laju bergerak seperti pacutan kuda di tengah padang.
“Tak. Saya datang nak jumpa Sir Fahmy tapi dia tak ada,” jawab lelaki itu penuh sopan. Matanya mengerling ke arah teman Wardah yang masih diam membisu. Cantik!
“Astaghfirullahalazim..” Perlahan suara itu keluar dari bibir merah lelaki itu namun dapat di tangkap oleh telinga Nur Ain.
“Saya pergi dulu. Assalamualaikum..” Sebaik sahaja kedua-dua gadis itu membalas salamnya, bergegas anak muda itu berlalu. Tangannya memegang dada sendiri. Terasa degupan jantungnya yang rancak berdenyut. Setiap langkahnya dialunkan dengan zikir. Dia cuba menghalau iras sipi gadis yang mula mendapat tempat di hatinya. Ya Allah, jika ini permainan syaitan Kau jagalah hatiku ini.
Wardah menyiku lengan Nur Ain yang masih menunduk. Pantas gadis itu memandang wajah Wardah yang kelihatan gembira itu. Keningnya di angkat ala-ala Ziana Zain.
Handsome betul head prefect tu,” puji Wardah tanpa segan silu. Terpana Nur Ain seketika naum dia cepat-cepat beristighfar.
“Alhamdulillah. Kurniaan Allah untuk dia,” balas Nur Ain. Wardah tersengih malu apabila menyedari kesilapan diri sendiri.
“Jomlah masuk jumpa cikgu,” ajak Nur Ain. Dia tidak betah berada di hadapan pintu bilik guru itu lama-lama. Tudung labuh berwarna biru yang dipakainya sedikit beralun di tiup angin.
Lagu Cinta Terakhir nyanyian Aiman mengejutkan gadis itu. Hilang semua ingatannya ketika zaman sekolah dahulu. Wajah Wardah menghiasi skrin handphone Nokia pemberiaan arwah ayahnya. Gadis itu pantas menekan butang berwarna hijau.
“Assalamualaikum..” Lembut suara Wardah menyapa pendengaran Nur Ain.
“Wa’alaikumsalam. Mak buyung apa khabar?” Soal Nur Ain dengan senyuman. Tergelak Wardah di hujung talian.
“Alhamdulillah. Saya sihat, baby pun sihat,” jawab wanita muda yang bakal menimang cahaya mata sulung itu.
“Abi baby?”
“Abi dia pun sihat. Siap ambil cuti seminggu lagi semata-mata nak jaga isteri tersayang dia ni,” cerita Wardah dengan nada ceria. Rasa cemburu terselit di ruang hati Nur Ain terhadap teman baiknya itu. Betapa bahagianya temannya itu kerana di kurniakan suami yang penyayang dan Alhamdulillah seorang imam yang soleh.
“Alhamdulillah. Beruntunglah awak dapat Doktor Hadi tu.”
“Awak tu bila lagi? Umur pun dah masuk 22 tahun. Belajar dah sampai tahap Master. Kerja je belum. Takkan tak ada rasa nak berumah tangga lagi?” Soalan Wardah menghantar perasaan sebak kepada Nur Ain. Siapa yang tidak mahu punya suami? Siapa yang tidak mahu punya keluarga sendiri? Sabda Rasululah S.A.W “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri.” (Riwayat Bukhari danMuslim)
“InsyaAllah, suatu hari nanti yang Allah S.W.T dah tetapkan untuk saya,” jawab Nur Ain penuh makna.
*****
Nur Ain melakukan solat sunat Istikharah selama seminggu berturut-turut setiap kali gadis itu bangun untuk berdating dengan pemilik jiwanya. Hatinya tenang. Jiwanya sudah tidak resah. Hilang segala ketakutannya selama ini. Rasa yakin terhadap Ilahi bahawa Allah memberi yang terbaik untuk umat-Nya mendorong Nur Ain mengambil keputusan itu.
Firman Allah S.W.T “ Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah (2) : 216)
Bersandarkan kepada keyakinan dan kecintaan kepada Yang Esa, dia membuat keputusan itu. Dia akan memberi kata putus itu kepada ibunya dengan penuh yakin. Semoga ibu mampu menerima keputusannya dengan hati terbuka.
Pagi itu Nur Ain menolong ibunya menggoreng nasi untuk sarapan pagi mereka bertiga. Ainul masih lagi berselimut. Mentang-mentanglah dia cuti, sesuka hati sahaja dia bangun lewat. Nur Ain sudah banyak kali mengejutkan adiknya itu namun Ainul sengaja mengeraskan diri tidak mahu bangkit daripada tidur seperti esok tiada tidur buatnya lagi
“Ain, macam mana?” Soalan pertama ibu padanya pagi itu mengundang senyum Nur Ain.
“Ibu rasa macam mana?” Soal Nur Ain kembali. Mahu berteka-teki dengan ibunya. Wanita separuh umur itu tersenyum penuh makna.
“Ibu menurut saja keputusan awak,” jawab ibu. Tangannya ligat memotong sayur kangkung.
“Alhamdulillah, bu.” Hanya itu yang mampu Nur Ain ungkapkan. Ibu tersenyum lebar. Lega hatinya mendengar jawapan yang dikias oleh Nur Ain itu.
“Alhamdulillah..” Ucap ibu.
*****
Nur Ain binti Naim. Bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki bernama Mohd Adam Azfar memberi satu kebahagian buat dirinya. Rasa kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Seram sejuk tangan Nur Ain mengenggam tangan suaminya lantas di cium penuh hormat. Adam tersenyum bahagia kerana impiannya untuk memiliki Nur Ain menjadi kenyataan.
“Adam, ciumlah dahi Ain..” Usul satu suara. Nur Ain tersentak. Mahu sahaja dia berkata tidak namun kata-kata itu tidak terluah. Dia diam membisu. Hanya menunggu tindakan dari suaminya. Di minda sudah teringat-ingat mengenai jawapan tentang hukum mencium isteri selepas akad nikah di khalayak ramai. Satu persatu ayat-ayat itu menerjah masuk ke kotak mindanya.
Haram jika ada bukan mahram di majlis itu, makruh jika ada tetamu yang tidak suka dengan perbuatan itu dan haram hukumnya jika niat ingin tiru cara orang kafir. Lebih afdal tidak cium dahi/pipi/mulut. Memadai dengan bersalaman dan cium tangan jika ingin meneruskan tradisi ‘batal air sembahyang’.
 “Maaflah. Saya terpaksa menolak..” Suara itu serta merta membuatkan Nur Ain tersenyum gembira. Wajahnya diangkat merenung wajah suaminya. Terkedu dia seketika. Wajah itu.. Adam. Ya Allah!
Berdua-duaan dengan seorang lelaki di dalam satu bilik membuatkan Nur Ain rasa sedikit ganjil biarpun lelaki itu adalah suaminya sendiri. Dada Nur Ain berdebar-debar sejak selesai mengaminkan doa solat Isyak berimamkan suami sendiri buat kali pertama.
“Penat?” Soal Adam apabila melihat wajah keletihan Nur Ain.
“Sikit-sikit..” Ada getar di dalam suara lembut itu. Adam tertawa. Nur Ain terpinga-pinga.
“Kenapa ni? Berdebar ke?” Nur Ain rasa seperti batu menghempap kepalanya saat itu. Merah padam mukanya menahan malu. Di kerling suaminya yang santai di atas katil mereka dengan buku di tangan.
“Mana ada,” sangkal Nur Ain yang kaku di depan cermin soleknya. Rambutnya yang bertocang satu itu beralun mengikut rentak badannya.
“Tak sangkakan.. Enam tahun kita tak jumpa tapi tup-tup jadi suami isteri,” ujar Adam seraya tangan menggamit Nur Ain mendekatinya. Perlahan-lahan Nur Ain mengatur langkah mendekati suaminya.
“Nur..” Panggil Adam lembut. Nur Ain di sisi tersipu malu. Teragak-agak dia memandang suaminya.
“Ingat masa kali pertama kita jumpa? Depan pintu bilik guru?”
Adam mula membuka cerita lama mereka. Nur Ain mengangguk.
“Abang jatuh cinta pandang pertama kat Nur masa itulah. Nur pemalu sangat. Comel,” puji Adam jujur.
“Abang jatuh cinta pada Nur?”
“Ya. Sejak hari tu, tiap-tiap kali lepas solat abang akan berdoa moga-moga Allah jodohkan abang dengan Nur. Alhamdulillah, Dia memakbulkan doa abang setelah bertahun-tahun abang menunggu dengan sabar,” tulus ikhlas lelaki itu mengaku.
“Subhanallah!” Hanya itu yang mampu di ungkap Nur Ain. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa.
“Nur juga macam abang. Sejak kita berjumpa, Nur selalu berdoa agar jodoh Nur dengan abang namun jika bukan Nur redha. Nur harap semoga Allah akan mengurniakan seorang lelaki yang terbaik untuk Nur,” akui Nur Ain.
“Alhamdulillah. Jodoh Nur dengan abang. Semoga jodoh kita kekal hingga ke syurga ye, sayang,” doa Adam lantas memeluk isterinya. Satu ciuman singgah di dahi isterinya itu.
“Abang, Nur ada sesuatu untuk abang..”
Nur Ain mengatur langkah ke arah meja studinya. Laci di tarik. Diarinya di ambil lantas di bawa kepada suaminya. Adam menyambut huluran Nur Ain dengan perasaan pelik.
“Bacalah..”
Mata Adam terpaku pada tulisan tangan dengan dakwat pen berwarna merah isterinya.

Buat DIA YANG MENJADI IDAMAN HATI..
Ya Allah…
Seandainya telah Kau catatkan dia milikku dan tercipta untukku..
Satukanlah hatinya dengan hatiku..
Titipkanlah kebahagiaan antara kami..
Agar kebahagiaan itu abadi..
Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengasihani..
Seiringkanlah kami melayari hidup ini..
Ketepian yang sejahtera dan abadi..
Maka jodohkanlah kami..

Tetapi ya Allah…
Seandainya telah Kau takdirkan dia bukan milikku..
Bawalah dia jauh daripada pandanganku..
Luputkanlah dia daripada ingatanku..
Dan peliharalah aku daripada kekecewaan..

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti..
Berikanlah aku kekuatan..
Menolak bayangnya jauh ke dada langit..
Hilang bersama senja nan merah..
Agarku senantiasa senang..
Walaupun tanpa bersamanya..

Ya Allah yang tercinta..
Pasrahkan aku dengan takdir-Mu..
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan..
Adalah yang terbaik untukku..
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui..
Segala yang terbaik untuk hamba-Mu ini..
Cukuplah Engkau sahaja menjadi pemeliharaku di dunia dan akhirat..
Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini..
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian..
Menjerumuskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran..
Maka kurniakanlah aku pasangan yang beriman..
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup..
Ke jalan yang Engkau redhai..
Dan kurniakanlah aku keturunan yang soleh dan solehah..

Ya Allah..
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat..
Dan periharalah kami dari azab api neraka..
Amin.. Ya Rabbal’alamin.
M. ADAM AZFAR

“Untuk abang?” Soal Adam. Nur Ain mengangguk. Adam memandang tarikh catatan hati isterinya itu. 3 JUN 2009. 6 tahun yang lepas. Sehari selepas pertemuan mereka. Airmata kesyukuran menitis menuruni pipi Adam. Segera lelaki itu melakukan sujud syukur. Betapa besarnya kurniaan Allah S.W.T kepadanya.
Maksud firman Allah S.W.T “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran : 200)
Nur Ain mendapatkan Adam. Di seka airmata lelaki itu. Rsa syukur tidak henti-henti di panjatkan kepada Allah S.W.T.
“Terima kasih sayang sebab terima abang,” ucap Adam.
”Sama-sama abang.” Adam tersenyum manis.
“Abang, Nur nak tanya sesuatu.”
“Apa dia? Tanyalah..”
“Macam mana mak boleh masuk merisik Nur?”
“Wardah yang rancang,” jawab Adam jujur.
“Kenapa abang bagi nombor telefon abang?”
“Nak uji bakal isteri abang. Nak tahu kesabaran dan keyakinan Nur pada Allah S.W.T. Jika Nur call abang, mesti Nur tidak yakin dengan apa yang Nur rasa selepas Nur buat solat sunat istikharah tu.” Nur Ain tersenyum.
“Abang tahu Nur tak pernah tengok gambar abang tu,” kata-kata Adam mengejutkan Nur Ain.
“Macam mana abang..”
“Ibu bagitau sehari sebelum kita kahwin,” pintas Adam.
Nur Ain bahagia. Bahagia yang tidak terucap dengan kata-kata. Alhamdulillah, kesabarannya menunggu suaminya di makbulkan Allah dengan menjodohkan mereka berdua. Semoga cinta mereka di redhai Allah dan semoga mereka bercinta sehingga ke syurga. InsyaAllah. Selamat datang cinta ke dalam hidup kami.

SEKADAR RENUNGAN BERSAMA : "Jika ALLAH SWT memakbulkan doamu, maka Allah meneguhkan kepercayaan mu kepadaNya",
"Jika ALLAH SWT menangguhkan doamu, maka ALLAH menguji kesabaranmu",
Jika ALLAH SWT TIDAK MEMAKBULKAN doamu, maka ALLAH telah merancang sesuatu yang lebih baik buatmu".
Sumber-sumber :

Thursday, 9 August 2012

Takdir Buat Kita [JIUK] Bab 38

Assalamualaikum...
Allahurabbi... 
Lamanya saya biarkan blog ni bersawang... 
Hehehe.. 
Terlalu sibuk dengan urusan sebagai student...
Harapnya tak ada siapa yang lupakan Ariel dan Aimuni.. :)



Addi meraup mukanya dengan rasa gembira yang tidak terhingga. Segera dipanjatkan rasa bersyukur kepada Allah diatas kurniaan itu. Suhana selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.0 kilogram tepat pada pukul 2.05 petang.
“Tahniah, kawan!” Ucap Ariel seraya memeluk Addi erat.
Thanks!”
“Pergilah masuk azankan anak kau tu,” arah Ariel.
Addi tersengih-sengih sebelum meloloskan diri ke ruangan bayi. Ariel hanya memandang langkah sahabatnya itu dengan rasa yang berbelah bahagi. Alangkah bahagianya jika dia yang berada ditempat Addi waktu itu. Melihat zuriat sendiri yang dilahirkan oleh wanita yang dia cintai amat bermakna.
“Untunglah kau, Di,” ujar Ariel perlahan sebelum melangkah ke wad isterinya. Dia mahu mengkhabarkan berita gembira itu kepada Aimuni agar senyuman isterinya itu dapat ditatap olehnya.
Langkah kaki Ariel terhenti. Matanya bertembung pandang dengan Ammar yang baru sahaja keluar dari wad yang menempatkan Aimuni. Ammar memandangnya dengan penuh amarah. Ariel mengusap kepalanya beberapa kali sebelum melangkah mendapatkan Ammar yang berdiri tegak dihadapan pintu wad itu.
Thanks sebab tolong hantarkan Ai ke sini,” ucap Ariel. Biarpun dia tidak selesa untuk berbicara dengan lelaki itu namun dia tidak mahu dikatakan tidak mengenang budi.
It’s okay. Itu tanggungjawab aku sebagai abang sepupu dia,” balas Ammar dengan nada sinis. Jika tidak kerana Aimuni sudah lama muka kacak Ariel itu menerima penangan tumbukannya!
“Kau dah nak balik ke?” Soal Ariel. Senyuman sinis terukir diwajah Ammar.
“Kenapa? Kau takut aku rampas Ai dari kau ke?” Soalan Ammar membuatkan darah Ariel mendidih. Apa kes sebut pasal benda ni pulak? Nak makan penumbuk aku ke mamat ni?
“Apa kes ni, bro?”
“Kau dengar sini baik-baik. Kalau kau sayangkan Aimuni Syakira, jangan pernah buat dia menitiskan airmata. Sekali lagi kau buat dia menangis, aku takkan teragak-agak untuk rampas dia dari kau!” Ugut Ammar dengan wajah serius. Ariel terkedu mendengar ugutan berani itu. Adakah Ammar benar-benar akan melaksanakan ugutannya itu? Tidakkah Ammar sedar apa yang diucapkannya itu?
Ammar melangkah untuk ke masjid berdekatan. Dia masih belum solat zohor dan dia perlukan ketenangan saat itu. Jika tidak mungkin sudah lama dia bertumbuk dengan Ariel. Rasa geram terhadap Ariel benar-benar menguasai dirinya.
Ariel mengeluh berat. Dugaan demi dugaan membadai rumahtangganya namun dia sedar hakikat bahawa ujian itu merupakan kafarah dosa. Ujian juga diturunkan Allah kepada hambaNya tanda kasih sayangNya buat hamba-hambaNya.
Sebaik sahaja masuk ke dalam wad itu, matanya memandang wajah Aimuni yang pucat. Rasa kasihan terhadap Aimuni menggunung. Berat benar beban yang ditanggung isterinya itu namun Ariel sendiri sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu menjelaskan kepada Aimuni bahawa tiada langsung rasa cinta dihatinya buat Sara.
“Fie macam mana?” Soal Ariel lembut seraya melangkah mendekati isterinya. Aimuni panggung kepala memandang wajah suaminya itu.
“Alhamdulillah.”
Tanpa menunggu lebih lama, Ariel menarik Aimuni ke dalam pelukannya. Terkedu wanita itu dengan tindakan suaminya namun dia hanya mampu merelakan sahaja perlakuan Ariel itu apatah lagi Ariel begitu erat memeluknya. Dia tiada kudrat untuk menolak pelukan Ariel.
“Maafkan Bie, sayang,” pinta Ariel. Airmatanya perlahan-lahan menuruni pipi. Dia sayangkan wanita itu dan sebelum menjadi suami Aimuni, dia sudah berjanji dengan dirinya bahawa dia tidak akan pernah menduakan wanita itu.
Aimuni hanya diam. Ingatannya terarah kepada zaman mereka berada di kampus. Dia dapat mengingati beberapa peristiwa bersama Ariel namun masih kurang jelas dan kabur. Terasa kepalanya sedikit sakit dan mencucuk. Peluh mula merintik keluar.
Husna memberi senyuman nakal. Nurul pula hanya tersengih-sengih seperti kerang busuk. Aimuni yang khusyuk mendengar lagu nasyid tidak menghiraukan sahabatnya itu. Telinganya ditutup dengan headphone yang besar gedabak dan ditangannya adalah sebuah buku motivasi karya Siti Nor Bahyah.
Nurul mencucuk lutut Aimuni dengan pensil picitnya. Gadis itu tersentak. Segera matanya dipanggung memandang ke arah Nurul yang sudah mengacau pembacaannya. Dahinya berkerut. Kening lebatnya bertaut erat.
“Kau ni apahal?” Soal Aimuni dengan rasa tidak berpuas hati. Nurul masih juga menayangkan senyuman nakalnya.
“There’s something for you,” sampuk Husna sebelum sempat Nurul membalas. Aimuni menarik headphone ditelinga dan memberi perhatian kepada Husna.
“Apa?” Aimuni membetulkan kedudukannya. Terasa sedikit kebas apabila berada dalam keadaan static begitu lama. Keadaan kafe itu sedikit lengang dengan kehadiran student dan kerana itu juga Aimuni melekat dikafe itu agak lama.
“Tutup mata dulu,” usik Nurul.
“Jangan nak mengada. Aku cepuk kau karang!” Marah Aimuni.
“Kau ni tak ada sifat kesopanan langsung! Kenapa mamat tu boleh syok kat kau pun aku tak tahulah,” bidas Nurul. Aimunii menjengilkan matanya ke arah Nurul.
“Memandai aje kau kutuk aku ye,” balas Aimuni.
“Dahlah tu. Bertengkar aje kerjanya. Ai nak tahu tak apa yang Husna nak bagi ni?” Husna menayangkan sehelai kertas dihadapan muka Aimuni.
“Mestilah nak!” Jawab Aimuni tanpa segan silu. Nurul hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah gadis itu.
“Kalau Ai nak Ai kena jawab dulu soalan Husna,” ujar Husna mengenakan syarat. Aimuni memuncung. Apa kes ada syarat segala bagai ni?
“Soalan apa pulak ni?” Aimuni tayang muka bosan.
“Ai suka siapa?” Terbeliak mata Aimuni mendengar soalan itu.
“Kenapa Husna tanya macam tu?” Husna hanya menayang sengih.
“Answer first,” Nurul mencelah. Aimuni memandang kedua sahabatnya itu dengan wajah tidak berpuas hati.
“Mana aci main berpakat macam ni,” rungut Aimuni.
“Ai nak ke tak nak ni?” Soal Husna. Kertas kajang itu ditayang lagi dihadapan Aimuni.
“Okey. Ai jawab tapi no more question after that.”
Serentak Nurul dan Husna mengangguk.
“Ada.” Tepukan berbunyi. Aimuni tercengang-cengang.
“Tahniah! Anda menerima sesuatu yang berharga dari orang yang anda suka,” ujar Husna.
“Orang yang saya suka?” Aimun terpinga-pinga.
“Kami tahu siapa orang tu. Ai tak cakap pun kami boleh detect,” kata Husna penuh keyakinan. Aimuni menelan air liurnya. Terasa menelan hempedu pun ada. Menonjol sangat ke? Rasanya aku lebih banyak layan mamat tu dengan kasar. Mana ada aku pernah layan dia dengan penuh sopan.
“Err…”
“Kau jangan nak beralasan sangat. Sorry to say my dear but hari tu aku ada pinjam buku Marketing kau and then aku jumpa something kat dalam tu,” cerita Nurul.
Aimuni ternganga. Marketing? Buku yang aku curahkan rasa hati aku kat page yang belakang sekali tu? Buku yang bersemadinya nama mamat tu kat halaman belakangnya? Buku yang dah menjadi saksi kepada lukisan potret wajah mamat tu even nampak sedikit cacat? Buku tu ke?? Aiyark! Matilah aku!
“Ya Allah, jika dia terbaik untuk agamaku, Kau jodohkanlah kami berdua dengan keredhaanMu,” sambung Nurul lagi. Wajah Aimuni memerah menahan malu.
“Woi, apa kes main curi-curi baca luahan hati aku ni??” Marah Aimuni.
Husna menghulurkan kertas kajang tersebut kepada Aimuni. Segera gadis tu merampasnya daripada Husna. Sesaat matanya terpegun melihat tulisan kemas bertinta biru itu. Mulutnya ternganga. Mamat dari kurun ke  berapa ni?
“Biodata? Bila pulak aku mintak biodata dia?” Soal Aimuni seraya menggaru kepalanya yang berbalut tudung. Husna dan Nurul sudah mengekek ketawa.
“Dia nak kau hafal tentang diri dia kot. Well, future hubby katakan,” usik Nurul.
“Kau dah lama tak rasa makan selipar aku kan?” Marah Aimun geram. Nurul tayang muka selamba.
Aimuni kembali menala ke arah kertas putih yang bergarisan itu. Satu persatu dibaca dan cuba diingati. Terasa seperti dia mendapat sesuatu yang langsung tidak dijangka. Sungguhlah orang kata, jangan terlalu membenci nanti bertukar menjadi cinta.
Nama : Syed Zafril Haqim bin Syed Fakri
Umur : Tua setahun dari awak
Alamat : Saya tinggal ditempat yang dipanggil rumah
Cita-cita : Menjadi seorang hamba yang diredhai oleh Allah S.W.T.
Hobi : Bergaduh dengan seorang gadis brutal
Warna kegemaran : Pink
Aimuni terhenti membaca. Dia menghamburkan ketawanya tanpa menghiraukan Nurul dan Husna yang terpinga-pinga. Mahu pecah perutnya kerana ketawa. Airmatanya bergenang. Segera dia menyeka bersama sisa-sisa ketawa.
“Kau ni dah kenapa, hah?” Soal Nurul tidak berpuas hati kerana Aimuni sahaja yang ketawa.
“Mamat ni minat warna pink la,” jawab Aimuni tanpa berselindung. Ternganga Nurul dan Husna. Abang macho minat pink? Aiyyo, apa sudah jadi ni?
“Ada jugak mamat yang macho macam tu minat warna pink. Luar biasa betul,” sampuk Husna. Dia mengintai kertas kajang tersebut sekilas namun terlindung dek tangan Aimuni.
“Na, beli air jom. Aku dahaga,” ajak Nurul. Husna mengangguk setuju dan bingkas bangun membuntuti Nurul ke kaunter membeli air. Aimuni ditinggalkan bersama dengan biodata lelaki sengal itu.
Di akhir kertas itu tertulis sesuatu yang agak memeranjatkan Aimuni. Namun perlahan-lahan senyuman terukir dibibirnya. Dia lelaki gentleman!
Kalau saudari tidak keberatan, saya mahu biodata saudari juga sebelum saya berjumpa dengan parents saudari. Bukan apa tapi saya nak tahu nama penuh saudari. Nanti susah nak akad nikah kalau tak tahu nama wife sendiri J
Aimuni mencapai kertas kajang dan pen merah di dalam pencil case. Dengan lafaz bismillah dia menulis namanya di atas kertas itu berserta nombor telefon Pak Langnya. Hanya itu yang ditulisnya dan baginya sudah mencukupi lelaki itu mengetahui sekadar nama penuhnya seperti yang dipinta. Aimuni senyum memanjang melihat biodata pendeknya itu. Diakhir kertas itu ditulis sesuatu yang bisa membuatkan bakal penerimanya tersenyum.
Saudara, terima kasih untuk biodata itu. Semoga Allah redha untuk apa sahaja yang saudara usahakan. Menanti itu bukti kesetiaan. Akad itu bukti cinta manusia kerana Allah. Wallahua’lam.
Pelukan hangat Ariel menghanyutkan Aimuni namun cukup untuk membuatkan dia sesak nafas kerana kelemasan. Aimuni menolak tubuh Ariel perlahan namun langsung tiada respon dari lelaki itu.
“Awak, lemaslah,” ujar Aimuni.
Ariel tersedar. Dengan berat hati dia melepaskan isterinya itu.
“Maaf.”
It’s okay.”
“Fie, Su dah bersalin,” ujar Ariel.
“Iya?” Bersinar mata Aimuni. Betapa dia gembira mendengar berita itu. Serentak itu juga dia mengusap perutnya yang kini sudah berisi. Ariel memerhati gelagat wanita itu. Rasa sedih menguasai dirinya. Sabarlah sayang. Tiada rezeki kita lagi, desis hati Ariel.
Baby boy,” sambung Ariel.
“Nak tengok,” rengek Aimuni.
“Nanti Fie dah sihat Bie bawak Fie jumpa Su iye. Kita pergi tengok baby tu sama-sama,” pujuk Ariel.
“Mesti comel,” ujar Aimuni perlahan. Tangannya masih diperut. Baby, nanti jadi anak yang soleh ye, desis hati Aimuni.
“InsyaAllah, baby kita pun akan comel juga nanti jika ada rezeki kita,” kata Ariel. Tangan Aimuni digenggamnya erat. Aimuni memandang wajah suaminya sekilas. Sedihnya sudah tidak tertanggung. Mahu sahaja dia memberitahu tentang berita gembira itu namun apabila teringatkan Sara, dia membatalkan niatnya.

Wednesday, 20 June 2012

Takdir Buat Kita [JIUK] Bab 32


Habis semua barang-barang bertaburan di dalam bilik itu. Sara mencapai pasu kaca yang berada di atas meja ditepi katil itu dan melemparkan ke pintu bilik. Rasa amarah yang membuak-buak di dalam dirinya tidak mampu dibendung. Apabila mengingati peristiwa yang terjadi di kafetaria syarikat Puan Nuralia membuatkan Sara hilang sedikit pertimbangan. Dia merasakan peluang untuknya mendapatkan Ariel semakin tipis.
Pintu bilik hotel dikuak dari luar. Sara memandang wajah lelaki yang tegak berdiri dihadapan bilik itu dengan raut wajah terkejut. Mata Sara yang berair tu direnung dalam. Sara berundur setapak dem setapak sehingga langkahnya terhenti di sisi katil. Gadis itu terduduk dan menangis di situ. Kedua-dua tangannya ditekupkan ke muka. Airmatanya mengalir tanpa henti.
“Hana, what’s wrong with you?” Soal Shadeeq seraya berjingkit-jingkit mendapatkan Sara kerana kaca yang bertaburan dihadapan pintu bilik itu.
Everything is wrong!” Jerit Sara bersama tangisan.
“Kenapa ni? Apa yang dah berlaku?” Soal Shadeeq. Dia mendekati adiknya itu yang sedang menangis tersedu-sedan. Dipeluk bahu adiknya itu dan menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Sara menghamburkan tangisannya di dada Shadeeq. Sungguh dia memerlukan semangat dari seseorang saat itu.
“Abang, Hana tak boleh lupakan Ariel. Hana perlukan dia,” rintih Sara. Abangnya itu terdiam memikir sejenak. Benar sangkaannya. Tentu adiknya itu telah berjumpa dengan Ariel.
“Hana jumpa Ariel?” Soalan Shadeeq dibalas dengan anggukan. Satu keluhan berat terlepas jua dari lelaki itu.
“Macam mana boleh jumpa dia?” Soal Shadeeq lagi. Sara panggung kepala memandang wajah abangnya itu.
“Hana sayang Ariel. Hana nak Ariel, abang,” rintih Sara tanpa menghiraukan pertanyaan Shadeeq. Berat hatinya untuk melepaskan Ariel. Sakit jiwanya apabila memikirkan tentang kebahagiaan Ariel dan Aimuni. Jantungnya seperti tidak mampu mengepam udara untuk diproses menjadi oksigen. Perasaannya sungguh terseksa saat itu.
“Abang tahu tapi Hana tak boleh macam ni. Hana kena kuat,” pujuk Shadeeq. Dia mengerling jam ditangannya sekilas. Rasa penat menguasai dirinya. Lebih 7 jam dia memandu daripada Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu semata-mata untuk berjumpa Sara dan Tan Sri Isa.
“Dia bahagia dengan wife dia tapi Hana yang terseksa, abang. Kenapa dia buat Hana macam ni?” Shadeeq menarik adiknya kembali ke dalam pelukan. Dia cuba menenangkan gadis itu.
“Hana ingat tak yang Hana pernah begitahu abang yang kebahagiaan Ariel adalah kebahagiaan Hana jugak? Hana kena terima hakikat yang perasaan manusia itu tidak boleh dipaksa. Cinta itu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah. Jangan sampai cinta tu membutakan mata Hana. Kalau betul Hana cintakan Ariel, Hana takkan kacau rumahtangga dia,” ujar Shadeeq panjang lebar.
“Abang tak faham apa yang Hana rasa!” Jerit gadis itu. Tubuh abangnya itu ditolak kasar. Matanya menikam anak mata Shadeeq dengan rasa amarah.
“Hana, ingat Allah,” kata Shadeeq mengingatkan adiknya itu.
“Keluar! Hana tak nak tengok muka abang sekarang. Jangan sampai Hana kurang ajar dengan abang,” marah Sara. Sungguh dia betul-betul tertekan waktu itu. Dia tidak mampu mengawal rasa sakit hatinya.
“Hana…” Tangan Sara diangkat dengan mengisyaratkan agar Shadeeq berhenti daripada mengeluarkan kata-kata.
Please, abang. Give me some time.
Okay but make sure you call me when you need something. Abang ada kat bilik sebelah,” ujar Shadeeq yang tampak risau dengan keadaan Sara. Gadis itu kembali kepada perangainya dahulu yang akan memarahi semua orang apabila berada di dalam keadaan tertekan.
Sara menjauhkan diri daripada Shadeeq apabila abangnya itu mahu menyentuh ubun-ubunnya. Shadeeq sedikit terkilan namun segera dia membuang perasaan itu. Dia cuba memahami perasaan adiknya. Sungguhlah, penangan cinta itu bisa membuatkan manusia hilang kewarasan.
Shadeeq perlahan-lahan bingkas bangun daripada duduknya. Dia menghayunkan langkah ke arah pintu bilik hotel itu. Sebelum kaki melangkah keluar, dia melemparkan pandangan ke arah Sara yang masih menangis di atas katil. Wajah adiknya itu sudah kusut dengan airmata yang mengalir tanpa henti. Shadeeq mengeluh berat. Pintu bilik itu ditutup perlahan-lahan dengan berat hati. Semoga Allah memberi ketenangan hati buat adiknya itu. Amin.
Sara menangis dan terus menangis mengenangkan Ariel. Hati yang sakit ternyata sukar untuk diubati. Sungguh dia kalah dengan kebahagiaan Ariel yang disaksikan sendiri dihadapan mata. Sebelum ini dia berat mengatakan bahawa dia mampu bertahan tanpa Ariel disisi namun ternyata semua sangkaannya itu hilang bagai debu ditiup angin apabila bertemu kembali dengan Ariel.
Handphone yang berada di dalam tas tangan dicapai. Dia rindukan suara Ariel. Dia mahu mendengar suara itu. Biarpun dia tahu bahawa Ariel berada bersama Aimuni kala itu namun dia tetap menguatkan hati bahawa dia mahu menelefon Ariel untuk melepaskan rasa sakit dan rindu yang bersatu didadanya kala itu. Hanya Ariel yang mampu menjadi penawar kepada sakitnya.

Handphone Ariel yang berada disisinya dipandang sekilas. Ternyata ada panggilan masuk namun suaminya itu menukar ke mode silent. Aimuni jadi resah sendiri. Siapa pula yang menelefon suaminya lewat malam begini? Aimuni memandang ke arah pintu bilik air yang tertutup rapat. Lampu bilik air terpasang dan curahan air kedengaran begitu jelas ditelinga Aimuni.
Handphone suaminya itu dicapai. Tertera nama Sara diskrin telefon bimbit itu. Nafas Aimuni seakan tersekat. Dengan tangan terketar-ketar, dia menekan butang menerima panggilan. Handphone itu dilekapkan ke telinga. Rasa berdebar-debar menguasai dirinya. Menunggu suara dihujung talian untuk berbunyi.
“Abang…” Suara merdu itu menyapa pendengaran Aimuni. Airmata wanita itu mengalir tanpa dipaksa. Hancur luluh hatinya saat itu.
“Abang, kenapa diam ni? Sara rindukan abang,” ujar suara dihujung talian. Aimuni terduduk diatas lantai tanpa sempat berpaut dibirai katil. Sakitnya hati kala itu hanya Allah yang tahu. Airmata semakin deras mengalir tanpa diseka.
“Isteri abang ada ke?” Soalan itu semakin menyeksa Aimuni. Gadis bernama Sara itu tahu bahawa Ariel sudah punya isteri tetapi mengapa masih mahu bermain cinta dengan suaminya?
Ariel yang baru menapak keluar dengan hanya bertuala terkaku melihat Aimuni yang sedang menangis dan memegang handphonenya. Hatinya dilanda kebimbangan. Dia resah sendiri. Tangannya melurut rambut yang masih basah ke belakang kepala. Perlahan-lahan dia maju mendapatkan Aimuni yang terduduk di atas lantai itu. Talian masih tidak dimatikan oleh Aimuni. Dia membiarkan Sara memanggil-manggil suaminya.
“Fie…” Tangan Ariel memegang bahu Aimuni namun segera wanita itu menepis. Sentuhan Ariel seakan racun berbisa kepadanya. Luluh hatinya apabila lelaki yang dia sayang dan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya tega mencurangi dirinya.
“Maafkan Bie,” pinta Ariel. Handphonenya dicapai dan segera dia memutuskan talian.
You hurt me,” ujar Aimuni dengan nada lemah. Ariel menunduk. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan saat itu. Mahu memujukkah atau hanya membiarkan isterinya melepaskan rasa yang terbuku didada?
“Kenapa awak sanggup buat saya macam ni? Apa salah saya?” Soal Aimuni. Matanya tajam menatap anak mata Ariel yang melutut dihadapannya itu. Panggilannya juga sudah bertukar. Arie tahu Aimuni teramat marah kala itu.
“Maafkan Bie. Itu semua hanya salah faham,” balas Ariel tanpa memberitahu perkara sebenarnya. Dia mahu Aimuni bertenang dahulu sebelum dia menjelaskan apa-apa kepada isterinya itu. Dia tahu Aimuni sedang marah dan jika seseorang tengah marah, memang semua perkara yang dia akan jelaskan tidak mampu diterima dengan baik oleh Aimuni.

“Salah faham apa? Dah jelas apa yang awak buat. Tak sangka awak sanggup menduakan saya. Saya cuba jadi isteri yang terbaik untuk awak tapi ini yang saya dapat? Apa kurangnya saya? Kenapa awak sanggup sia-siakan kepercayaan saya pada awak?” Nada Aimuni sedikit meninggi. Dia tidak lupa bahawa Ariel itu suaminya namun rasa sakit yang dia rasa mendorong dirinya untuk meninggikan suara dihadapan Ariel.
“Fie, semua ni bukan seperti yang Fie fikirkan,” balas Ariel lembut. Dia tahu emosi Aimuni tidak stabil sekarang dan dia perlu berlembut dengan isterinya itu.
“Apa lagi yang awak cuba sembunyikan daripada saya?” Soal Aimuni lagi tanpa mahu mendengar kata-kata Ariel yang berbaur pujukan itu.
Give me a chance to explain it to you,” pinta Arie dengan nada sayu. Dia mahu memeluk erat tubuh isterinya itu namun penolakan Aimuni sebentar tadi membantutkan niatnya.
I’m waiting for it, Encik Zafril Haqim! Who’s Sara?”
She’s my neighbour masa Bie tinggal dengan papa. Bie cuma anggap dia sebaga adik saja. Tak lebih daripada tu,” jawab Ariel jujur. Aimuni mengukir senyum sinis.
“Anggap sebagai adik? Kalau betul awak anggap dia sebagai adik, kenapa awak sembunyikan daripada saya?” Soalan Aimuni benar-benar buat Arie terpana. Dia kebingunan untuk memberi jawapan terbaik kepada soalan isterinya itu.
Tell me the truth!” Desak Aimuni setelah Ariel berdiam diri dengan begitu lama.
I don’t want to hurt you.
You already hurt me.” Dingin Aimuni membalas.
She want to be my wife,” kata-kata Ariel seperti belati yang menghiris hati Aimuni. Wanita itu tertunduk tanpa kata. Ayat Ariel kembali bergema di mindanya.
“Fie jangan salah faham. Bie tak pernah berniat pun nak menikah satu lagi. Sara yang asyik mendesak Bie tapi Bie tak pernah curang pada Fie. Percayalah,” rayu Ariel namun Aimuni tetpa jua berdiam diri. Ariel semakin gelisah dengan perubahan isterinya itu.
Aimuni bingkas berdiri dengan susah payahnya. Badannya terasa melayang-layang. Dia berpaut pada birai katil. Kenyataan itu sukar untuk diterima oleh akalnya. Ariel turut bingkas berdiri dan memaut lengan Aimuni. Isterinya itu terhenti. Tiada penolakan atau reaksi daripada Aimuni. Wanita itu hanya membisu seribu bahasa.
Forgive me, sayang,” pinta Ariel.
“Lepaskan saya,” balas Aimuni perlahan. Dia langsung tidak mahu memandang wajah Ariel.
“Sayang, jangan macam ni,” ujar Ariel dengan wajah sayu.
“Tolong lepaskan saya,” pinta Aimuni kali kedua. Akhirnya Ariel mengalah. Lengan isterinya itu dilepaskan perlahan-lahan. Aimuni perlukan masa untuk memaafkannya. Dia tahu dia yang bersalah kerana merahsiakan semua itu daripada Aimuni tapi dia mempunyai alasan yang kukuh kenapa dia menyembunyikan semua perkara itu.
Aimuni merebahkan badannya ke atas katil. Dia mengiring ke kanan dan menutupi seluruh badannya dengan selimut. Dia betul-betul letih kala itu. Himpitan rasa sakit membuatkan dirinya tidak berdaya. Apakah ini rasanya penangan cinta apabila cinta itu dicurangi oleh orang yang betul-betul kita cintai?


*enjoy reading, guys!